"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MJ Dibunuh Kerana Wang - Latoya Jackson

ADIK kepada penyanyi Michael Jackson iaitu Latoya Jackson (gambar) mendakwa abangnya telah dibunuh kerana wang memandangkan Raja Pop itu "jauh lebih bernilai selepas kematiannya berbanding ketika masih hidup".

Dalam satu kenyataan kepada laman web mirror.co.uk baru-baru ini, Jackson menegaskan, keluarga dan peminat abangnya berhak untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku di sebalik kematian penyanyi itu genap setahun yang lalu.

"Saya memang tidak ragu-ragu dia (Michael) telah dibunuh. Apabila mendapat tahu tentang berita kematiannya dan apabila ibu kami menjerit di telefon memberitahu 'dia sudah mati', hanya satu persoalan yang terlintas di fikiran saya iaitu 'siapa yang melakukannya?'"

"Michael dibunuh kerana katalog lagu-lagunya yang sangat bernilai. Pihak yang terlibat dalam konspirasi kematian Michael menyedari betapa tingginya nilai Michael selepas dia mati berbanding ketika masih hidup.

"Anak-anaknya, ahli keluarga dan peminat berhak untuk mengetahui cerita sebenar di sebalik kematian Michael. Sejujurnya, ia (konspirasi) adalah satu tamparan hebat bukan sahaja kepada Michael, malah kepada ahli keluarganya juga. Ia sangat tidak adil, satu kesalahan besar dan bukannya kemalangan seperti yang dihebahkan," katanya.

Bercerita tentang keadaan ibunya selepas kematian Michael, Jackson berkata: "Saya dapat merasai penderitaan dan kesedihan di mata ibunya. Namun, dia sangat kuat menghadapi keadaan itu dan memilih untuk tidak menangis atau menunjukkan kesedihannya. Saya tahu dia berbuat demikian demi anak-anak Michael."

Sementara itu Raja Pop itu turut menerima 600 batang bunga matahari yang dihantar ke pusaranya di kawasan perkuburan Glendale, California bersempena dengan ulang tahun kematiannya yang pertama hari ini.

Sunflowerguy.com menghantar bunga-bunga tersebut dengan setiap satu mengandungi mesej tersendiri bersama 100 lagi jambangan bunga matahari oleh orang persendirian dan juga 4,000 kuntum bunga ros.

Bunga matahari yang merupakan bunga kegemaran Michael Jackson diletakkan kira-kira 100 kaki dari tanah perkuburan tersebut, ekoran kerja-kerja pembinaan yang dilakukan, lapor tmz.com.

Wakil Sunflowerguy.com, Jason Levin berkata, MJ layak untuk menerima lebih daripada semua barangan termasuk bunga, lilin dan hadiah yang diletakkan di pusaranya.

-mstar-

Tiada ulasan: