"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalau Presiden PAS pengganas, sudah lama negara huru-hara

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Jun:
Kalau Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang seorang pengganas, maka sudah lama negara ini menjadi huru-hara, tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar).

Baginya, jika Tuan Guru Abdul Hadi pengganas, sudah pasti ada kejadian membakar dan mengebom bangunan seperti yang berlaku di Indonesia dan Thailand.

Katanya, pengikut PAS dan penyokong Tuan Guru Abdul Hadi ada di mana-mana di Malaysia ini.

“Boleh dikatakan bukan setakat umat Islam, bahkan bukan Islam pun ramai yang menjadi penyokong beliau. Populariti beliau lebih daripada Perdana Menteri sendiri.

“Beliau dikenali di dunia Islam antarabangsa, walaupun beliau bukan Perdana Menteri. Ucapan dan tulisan beliau disukai oleh setiap lapisan masyarakat, ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, semua tulisan dan ucapan beliau tidak pernah menjuruskan ke arah keganasan.

Tegasnya, beliau tidak pernah meminta umat Islam Malaysia berperang dengan kerajaan Malaysia.

Tambahnya, semua ucapan dan penulisan Tuan Guru Abdul Hadi adalah berbentuk dakwah dan tarbiyah yang menjurus persoalan akidah dan tauhid, akhlak dan syariat yang menjadi pedoman umat Islam.

Beliau berkata, Presien PAS itu selalu meluruskan umat Islam yang bengkok dan lari dari landasan perjuangan.

“Apakah kerana ketegasan Presiden PAS terhadap isu umat Islam di Palestin, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Chehnya, Selatan Filipina dan Thailand ini dianggap sebagai pengganas?” tanya Nasrudin.

Sedangkan, ujarnya itulah sikap sebenar sebagai pemimpin umat Islam yang tulen di mana sewajarnya pemimpin umat Islam yang lainnya bersikap keras sekiranya ada negara-negara umat Islam yang diserang dan dicerobohi.

Beliau menegaskan, keganasan bukan sikap PAS dan cara PAS mendapatkan kuasa di mana sejak tahun 1951, PAS telah menyertai pilihan raya.

Katanya, kaedah demokrasi berparlimen yang diamalkan sekarang itulah yang diamalkan oleh PAS dan tidak pernah mengajak mana-mana ahli dan penyokongnya bertindak ganas dalam mana-mana aktivitinya.

“ Mengaitkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan keganasan adalah satu penghinaan terhadap beliau, PAS serta pendokong dan penyokong PAS yang berjumlah hampir sejuta orang ini.

“Tindakan yang mengaitkan beliau dengan keganasan tidak lain hanyalah sikap manusia yang desperate serta dengki terhadap populariti beliau. Bahkan orang sebegini hanya bencikan pengaruh PAS yang semakin diterima oleh kelompok bukan Islam.

Beliau menjelaskan, Tuan Guru Abdul Hadi adalah pemimpin PAS sejak tahun 1980-an lagi yang pernah menjadi Naib Yang Dipertua PAS Pusat, Timbalan Presiden sehingga kini menjadi Presiden PAS sejak tahun 2002, yang juga Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang di Terengganu.

Katanya, mana mungkin seorang pengganas bergerak atas platform rasmi negara.

“Semua aktiviti beliau diketahui sama ada dalam negara mahupun luar negara. Jadual beliau sendiri dimaklumkan kepada media.

“Pengganas tidak bersifat demikian. Seorang pengganas akan bertindak secara senyap-senyap dan tidak berani menzahirkan diri di khalayak. Beliau takut dirinya akan ditangkap. Segala aktivitinya juga tidak akan didedahkan,” kata beliau lagi.

Justeru, Nasrudin menyeru pihak berkenaan supaya mengambil contoh beberapa figur yang dianggap pengganas dan segala aktiviti hidupnya yang tentunya sudah pasti amat jauh berbeza dengan peribadi Presiden PAS.

Tiada ulasan: