"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dokumentari kontroversi Bakun disiar di YouTube

Dokumentari kontroversial mengenai Empangan Bakun - di mana dua siri pertamanya disiarkan oleh RTM2 Mei lalu, tetapi siaran tiga baki sirinya dibatalkan kerana didakwa mengandungi 'elemen sensitif' - kini boleh ditonton di YouTube.

Tiga siri yang dibatalkan siarannya - selama kira-kira 30 minit - kini disiarkan di Internet bersama dua siri pertamanya.

Menurut penerbit dokumentari tersebut, Chou Z Lam (kiri), siaran tiga baki siri tersebut dibatalkan atas arahan langsung daripada ketua pengarah penyiaran Datuk Ibrahim Yahya.

Siri berkenaan memaparkan masalah asas yang dialami kira-kira 10,000 anggota masyarakat orang asal di Hulu Sungai Balui sejak lebih satu dekad.

Menurut masyarakat Penan, tanah di sekitar sungai Asap Koyan yang diberikan kepada mereka, tidak cukup besar dan tidak subur untuk pertanian.

"Kami hanya diberikan tiga ekar untuk satu keluarga. Bagaimana kami hendak bertani di kawasan sekecil itu? Kami tidak boleh menanam secukupnya untuk makanan kami sendiri," kata Botai Udau, seorang penduduk warga emas Penan.

"Di kawasan tanah lama, kami boleh pergi memburu dan memancing di hutan sekitarnya, tapi di sini, sukar bagi kami untuk menampung keperluan keluarga kami kerana tidak ada hutan," tambahnya.

Kenyataan Botai dalam bahasa kaum Penan itu, telah diterjemahkan oleh remaja Penan, Uming Anyit.

Satu lagi masalah, kata Botai, ialah tanah pertanian yang disediakan untuk masyarakat asal di situ, terletak hampir dua jam perjalanan dari lokasi rumah panjang baru mereka dan ramai yang tidak mampu membeli kenderaan.

Katanya lagi, kerajaan negeri Sarawak hanya menyediakan tiga pegawai pertanian di sebuah pejabat sementara yang mana ianya tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan 10,000 penduduk yang hanya bergantung kepada aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan mereka.

Dokumentari tersebut turut memaparkan kekurangan kemudahan asas untuk anak-anak mereka yang kebanyakannya tidak bersekolah.

Masyarakat tersebut juga berdepan dengan masalah kekurangan bekalan perubatan dan kemudahan pengangkutan.

Sewaktu penempatan semula mereka pada 1998, kontraktor ampangan Bakun dan kerajaan negeri berjanji kepada penduduk terbabit untuk menyediakan rumah panjang yang baru, bekalan percuma air dan elektrik, tetapi penduduk kesal kerana janji itu tidak dikotai.

"(Sebaliknya) kami kini dipaksa membayar kos pembinaan rumah panjang, bekalan air dan elektrik," kata salah seorang penuduk masyarakat Kayan, Miku Loyang.

Sementara itu, menurut Chou, dua episod asal dokumentari tersebut telah ditapis oleh bahagian hal ehwal program Galeri Mandarin Nasional, sebelum episod seterusnya dibatalkan.

Chou berkata, beliau merancang untuk membuat penggambaran semula dokumentari tersebut kerana merasakan siri di internet itu belum lengkap dan mungkin juga melibatkan isu hak cipta dengan RTM.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: