"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akhirnya isu ‘periuk nasi’ akan tumbangkan BN

Zulkifli YahayaKebangkitan rakyat Tunisia beberapa bulan lalu mengejutkan dunia. Kezaliman Presiden Zainal Abidin dikatakan punca kepada sebuah kebangkitan besar rakyat menggulingkan pemimpin negara.

Jika kezaliman dikatakan menjadi punca rakyat bangkit secara bersepadu, mengapa ia tidak berlaku di beberapa negara Arab yang lain yang juga diperintah secara diktator?

Bahkan Sadam Husein yang zalim itu, tidak berjaya dijatuhkan oleh rakyat sendiri. Ia dijatuhkan oleh kuasa luar. Presiden Syria Hafiz Al-Assad melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap ribuan rakyat di Hamma, namun kerajaannya tidak tumbang melalui kesepaduan kuasa rakyat.

Presiden Zainal Abidin tidak memulakan kezaliman terhadap rakyat Tunisia pada tahun 2010, sebaliknya sejak 23 tahun yang lalu. Hanya baru sekarang dia dijatuhkan. Ertinya zalim saja tidak cukup untuk sesebuah kuasa dijatuhkan.

Kejatuhannya mula bersemarak dari peristiwa seorang peniaga buah Mohamad Bouazizi membakar diri kerana kesempitan hidup. Dia dilarang berniaga di tepi jalan oleh pihak penguasa, sedangkan sumber pendapatannya yang sedikit itulah diguna untuk menyara keluarga. Api yang membakar Bouazizi rupanya turut membakar hati seluruh rakyat Tunisia yang sedang dihimpit tekanan ekonomi. Isunya ialah tekanan ekonomi rakyat, soal makanan dan perut yang lapar.

Terdapat ramai pemimpin gerakan Islam di Tunisia tapi mereka tidak mampu mengembeling kuasa rakyat menumbangkan kerajaan yang zalim, melalui cara yang sah atau sebaliknya. Kerajaan zalim itu tidak tumbang melalui semangat Islam ataupun semangat isme ciptaan manusia. Namun ia boleh tumbang gara-gara isu ‘bread and butter’.

Mesir turut menerima tempias kebangkitan rakyat menentang kerajaan. Semuanya berpunca dari tekanan ekonomi yang teruk melanda rakyat. Ikhwanul Muslimun boleh dianggap sebagai ‘guru’ kepada semua gerakan Islam di dunia tapi isu ‘bread and butter’ rupanya lebih berkesan menggerakkan rakyat bangkit di jalanraya, berbanding semangat Islam yang dipasak oleh Ikhwanul Muslimun di kalangan rakyat. Perut yang lapar mampu membuat manusia bertindak di luar kenormalan.

Sejak Revolusi Bolshevik di Russia, banyak sudah kerajaan-kerajaan di atas dunia ini yang jatuh kerana isu tekanan ekonomi yang dirasai rakyat bawahan. Kezaliman pemerintah mungkin jadi punca, tetapi isu ‘bread and butter’ yang menyempurnakan kejatuhan.

Hari ini dunia sekali lagi sedang dilanda krisis ekonomi atau lebih tepat lagi isu kenaikan harga barangan makanan. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (Food and Agricultural Organisation, FAO) memberi amaran bahawa dunia sedang menghadapi krisis kenaikan harga barang. Kenaikannya melonjak ke aras tertinggi bulan lalu, memecahkan rekod krisis kenaikan tahun 2007-2008.

Pertubuhan itu membayangkan bahawa krisis harga makanan tersebut akan meningkatkan krisis ekonomi dan politik di negara-negara membangun. Krisis seterusnya dijangka merebak ke negara-negara Eropah.

Malaysia sebagai sebuah negara yang banyak mengimport makanan dari luar lebih cepat terasa. Kini kenaikan harga barangan terutamanya makanan sudah tidak terbendung lagi. Ia dijangka berlarutan untuk beberapa tahun. Orang biasa pun menggunakan lebih 50 peratus dari pendapatannya untuk makanan. Orang miskin lebih lagi, mereka mengguna lebih 80 peratus untuk makanan. Habis di mana sumber yang mereka akan gunakan untuk keperluan lain seperti pengangkutan, pendidikan, pakaian, utiliti dan sebagainya?

Setiap orang yang berbelanja di pasar akan keluar dengan dahi berkerut. Tiada apa sangat yang boleh dibeli dengan sehelai wang kertas RM50. Ia cuma lebih baik sikit dari wang Jepun cap pokok pisang. Semua ini adalah satu penyeksaan terhadap rakyat jelata.

Tidak semua rakyat terasa bila orang politik bercerita mengenai PAS berkawan DAP, non Muslim masuk masjid, wakil rakyat lompat parti, baling kerusi dalam mesyuarat agung parti dan sebagainya. Tapi soal kesempitan akibat kenaikan kos hidup akan dirasai semua orang sekalipun orang politik tidak bercerita.

Rakyat Malaysia boleh diberitahu bahawa kenaikan harga barangan makanan adalah disebabkan faktor luaran. Isu global konon-kononnya. Tapi rakyat yang saban hari dimomokkan dengan kehebatan kerajaan BN menjana ekonomi tidak sudi untuk mendengar alasan yang dibuat dalam dua piawaian; bila ekonomi hebat itu kerja BN, jika teruk itu angkara pihak luar. “Kenaikan harga barang pun tak reti nak kawal, jadi kerajaan apa? lebih baik turun bagi orang lain naik.” Begitulah antara kata-kata yang tersusun di forum alam maya.

Mahu tidak mahu, kenaikan harga barangan terutamanya makanan akan memberi impak yang sangat mendalam terhadap penolakan rakyat terhadap BN selaku pemerintah. Sementelahan pula BN sudah terlalu lama memerintah melebihi rekod Zainal Abidin di Tunisia dan Hosni Mobarak di Mesir.

11 kali pilihanraya umum, rakyat kuat menyokong BN lantaran mereka berada di zon selesa. “Buat apa nak tukar kerajaan, ekonomi tiada masalah.” Pilihanraya ke 12, BN hampir tertolak. Antara puncanya ialah kenaikan harga minyak dan barangan.

Ekonomi kini lebih teruk berbanding tiga tahun lalu. BN sedar bahawa retorik ‘ketuanan Melayu’ saja tidak cukup jika rakyat kelaparan. Sebab itu Najib sanggup berhabis-habisan untuk membeli sokongan rakyat.

Bagi Pakatan Rakyat, jika isu ‘bread and butter’ jadi pemangkin terbaik rakyat menolak BN, tunggu apa lagi, gunakan sebaik-baiknya itu tersebut, pemangkin terbaik untuk menamatkan hayat BN.


Akhirnya isu ‘periuk nasi’ akan tumbangkan BN

Tiada ulasan: