"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersih 2.0: Tiada makna jika stadium tidak melimpah

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Julai: Bersih 2.0 sudah mencapai 60% matlamatnya iaitu kebanyakan rakyat hari ini sedar akan kewujudannya, namun segalanya tidak bermakna sekiranya perhimpunan di stadium nanti tidak melimpah hadirinnya, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

“Dengan kegigihan jawatankuasa Bersih 2.0 dan juga publisiti percuma daripada Umno Barisan Nasional dan medianya serta tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mengarah polis untuk bertindak melampau dengan mengada-adakan konspirasi tak masuk akal terhadap Bersih 2.0, pergerakan itu kini dikenali di seluruh pelosok negara.

"Rakyat kini tahu akan apa itu Bersih 2.0, apakah tuntutan mereka dan juga keganasan kerajaan Barisan Nasional.

"Bersih 2.0 sudah mencapai 60% matlamatnya – kebanyakan rakyat hari ini sedar akan kewujudannya, namun segalanya tidak bermakna sekiranya perhimpunan di stadium nanti tidak melimpah hadirinnya,” terang beliau.

Tuan Ibrahim juga berkata rakyat usahakan 40% yang selebihnya untuk memastikan agenda Bersih 2.0 berjaya bagi meyakinkan diri sendiri serta orang-orang sekitarnya yang sedar tentang kewujudan dan fungsi Bersih 2.0 dengan menghadirkan diri secara beramai-ramai ke perhimpunan awam nanti.

“Dengan stadium yang melimpah, percayalah bukan sahaja rakyat sendiri berasa yakin mereka tergolong dalam golongan majoriti yang menuntut perubahan dalam sistem pilihanraya, bahkan juga kerajaan pimpinan Barisan Nasional bahawa rakyat menuntut perubahan dilakukan segera sebelum pilihanraya ke 13 diadakan.

"Itulah 40% lagi, yang hanya boleh diusahakan oleh rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan keadilan untuk menjayakan Bersih 2.0 sepenuhnya,” seru beliau.

Beliau juga mengucapkan syabas atas kegigihan yang ditunjukkan para penganjur Bersih 2.0 yang berjaya menunjukkan tahap ketabahan yang mengkagumkan sepanjang minggu lepas walaupun diasak, diugut dan dipersenda oleh “mereka-mereka yang berkuasa tapi tidak menghormati undang-undang” sehinggalah mendapat pengiktirafan diRaja apabila diberi peluang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Daripada digelar sebagai satu pertubuhan haram, diasak oleh Kementerian Dalam Negeri dengan menggunakan polis dan akta-akta yang zalim seperti Akta Ordinan Darurat 1966 sehinggalah mendapat restu dan pengiktirafan diRaja dengan diberi peluang menghadap Agong, rakyat perlu kagum dan bangga dengan kegigihan aktivis-aktivis Bersih 2.0 untuk meneruskan agenda mereka tanpa gerun demi rakyat, tambah beliau.

Walaupun tempat perhimpunan aman bertukar daripada demonstrasi aman di jalanraya kepada stadium, PAS menyeru seluruh ahlinya untuk tetap menghadirkan diri di stadium yang ditentukan nanti untuk menyokong Bersih 2.0 kerana dasar perjuangannya tetap sama iaitu untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil di negara ini.

“Kepada para penyokong Bersih 2.0 yang kecewa dengan kompromi ini, bersangka baiklah pada jawatankuasa Bersih 2.0 telah melakukan yang terbaik demi rakyat,” nasihat Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

PAS, katanya juga ingin menegaskan bahawa Bersih 2.0 ialah sebuah badan bukan politik dan berkecuali, dan PAS menyokong kerana dasar perjuangannya untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil demi masa depan negara dan generasi akan datang.

“PAS menyokong Bersih 2.0, termasuklah keputusannya untuk mengadakan perhimpunan aman pada Julai 9 ini di Kuala Lumpur,” kata beliau.

Ingatan kepada Pakatan Rakyat

Tuan Ibrahim juga mengingatkan Pakatan Rakyat Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan kecaman mereka terhadap keganasan yang digunakan kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap penyokong Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan rakyat kepada pembangkang.

“Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di’offset’kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa.

8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa,” terang beliau.

Pakatan Rakyat, katanya juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, mereka bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional secara automatik.

“Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara,” tegur Tuan Ibrahim.

Untuk kerajaan Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya, Tuan Ibrahim berkata PAS menasihatkan agar menunaikan 8 tuntutan Bersih 2.0 ini.

“Barisan Nasional akan menghayati kepentingannya sekiranya di pilihanraya umum ke 14 apabila tewas di pilihanraya ke 13 nanti,” kata beliau, sambil menambah bahawa sekiranya diberi kuasa memerintah nanti Pakatan Rakyat akan juga melaksanakan 8 tuntutan Bersih 2.0.

“(Ini bagi memastikan) supaya kita dapat bersaing secara sihat dan seimbang di padang yang sama rata dengan semua pembangkang - dengan penuh keyakinan daripada rakyat bahawa demokrasi negara adalah subur, telus dan tulen,” kata beliau.

Tiada ulasan: