"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Felda, Pengurus Disaman 113 Peneroka



SEREMBAN, 7 JULAI: 113 peneroka Felda Palong 9 hari ini memfailkan saman ke atas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) Felda kerana cuba memanipulasi urusan penebangan dan pengambilan kayu getah di Felda tersebut.

Menurut Peguam Plaintif terbabit, T Kumar harga tender penenbangan dan pengambilan kayu getah yang ditawarkan JKKR tidak mengikut proses tender terbuka dan harganya jauh lebih rendah dari harga pasaran.

Sebelum ini beliau mendedahkan, seramai 30 peneroka telah mengambil keputusan untuk berurusan dengan pembida luar tanpa melalui Felda yang menawarkan harga pada RM 46 ribu untuk kebun seluas 10 ekar.

Manakala syarikat LBJ Global menawarkan RM 33 ribu dimana tender terbabit diberikan sendiri oleh Felda dan ia sekali gus bertentangan dengan perjanjian memilih pembida menerusi proses tender terbuka.

"Sebelum ini 30 peneroka ditawarkan RM 46 ribu untuk jualan kayu getah mereka. Kontraktor yang dilantik beri RM 33 ribu. Ini merupakan kecuaian dan salah laku FELDA, Pengurus dan AJK JKKR.

"Kalau beza RM 13 ribu bezanya, ikut 113 plaintif ini, peneroka jumlah kerugian hampir RM 1.5 juta! " tegas beliau di lobi Kompleks Mahkamah Seremban hari ini.

Felda Palong 9 didiami oleh 258 peneroka sejak tahun 1985 yang mengusahakan getah ditanah seluas RM 10 ekar.

Pada 8 Jun lalu, 36 peneroka dari Felda Palong 9 dekat sini berjaya menghalang permohonan injunksi kontraktor lantikan Felda untuk kerja penebangan dan membeli pokok getah di tanah mereka. Peneroka tersebut memfailkan afidavit balas di Mahkamah Tinggi Seremban Januari lalu untuk mencabar permohonan injunksi berkenaan.

Menurut T. Kumar, saman yang difailkan pagi ini di Mahkamah Tinggi Seremban meminta ganti rugi perbezaan harga yang dipilih dan diterima melalui proses tender dengan harga pasaran semasa pekebun getah, faedah 8 peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dan tarikh tindakan ini difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh serta kos-kos mahkamah.

Sementara itu, wakil Peneroka Palong 9, Hamzatun Mohamad menyatakan kekecewaan terhadap Felda dengan keadaan itu

"Saya lebih cenderung untuk megnatakan kita dalah peneroka dan kita berhak pertahan hak dan kebajikan kita. Jadi, bila Felda dan JKKR gagal dapatkan harga tender yang baik ia datangkan kerugian besar kepada peneroka.

"Saya mengharapkan satu keputusan dan pertimbangan dari Mahkamah untuk kemenangan kepada peneroka," katanya.

Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Suhaimi Said pula mengambil simbolik 7 Julai yang dinyatakan sebagai Hari Peneroka untuk mengenang kembali hubungan antara peneroka dan Felda.

Menurut beliau, peneroka tidak menentang Felda yang telah mengubah hidup mereka, sebaliknya menentang penyelewengan yang berlaku dalam pentadbirannya.

"Ini merupakan siri ke 9 dalam saman-saman kita terhadap Felda, jelas ada banyak masalah dengan Felda.

"Ada orang kata mengapa kita menentang Felda, kita sama sekali tidak menentang Felda. Malah kita, peneroka bersetuju adanya Felda yang merubah kehidupan mereka. Tetapi apa yang mereka tak suka adalah penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan," tegas beliau.

Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Bahrin Abbas pula menyatakan betapa Felda sepatutnya mengakui bermasalah dan berusaha menjaga kebajikan peneroka.

Beliau menyatakan betapa keghairan Felda dalam menyentuh pelaburan dan keuntungan tidak beerti jika peneroka ditindas dan dibiar sebegini.

"Felda masih lagi menafikan bahawa mereka ada masalah dalam pengendalian mereka. Malah dalam Parlimen mereka tak akui. Apa yang Felda dedahkan di Parlimen hanya berkaitan dengan pelaburan. Kami bawa masalah peneroka-peneroka.

"Ini akan berterusan selagi pihak Felda tidak mahu duduk bersama dengan wakil-wakil peneroka," kata beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan.
-tvsnews-

Tiada ulasan: