MOHD ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN
Pakatan Harapan (PH) hampir mempunyai segala hujah dan modal politik untuk menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh terdekat ini.
Keabsahan Muhyiddin Yasssin sebagai perdana menteri yang semakin diragui, kelembapan barisan kabinet menangani keganasan Covid-19, kemelut dalaman antara Umno dan Bersatu sehinggalah kerakusan untuk merampas kuasa di Sabah yang kemudiannya menjadi punca pandemik kembali meningkat.
Benar, pada pusingan awal selepas mengangkat sumpah pada Mac lalu sebagai perdana menteri, Muhyiddin memperoleh kelebihan mutlak. Beliau dilihat lebih popular dan diterima oleh seisi rakyat Malaysia. Tetapi situasi mula berubah apabila Khairuddin Aman Razali gagal laksana kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki. Ini adalah permulaan yang hampir semua orang maklum.
Keyakinan terhadap Muhyiddin segera berubah dan secara umumnya, ramai melihat beliau mengambil sikap berat sebelah demi melindungi menteri PN. Situasi semakin memburuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lalu.
Dalam sekelip mata, Muhyiddin dan barisan kabinet dilihat hilang daya kekuatan sebagai sebuah kerajaan. Menteri Pendidikan gagal menangani masalah pembelajaran di sekolah akibat sekatan pergerakan, Timbalan Menteri Kesihatan menganggap sekolah masih kawasan yang selamat dan Menteri Pengajian Tinggi pula bercelaru dalam mengurus komunikasi antara kementerian dengan institusi pengajian tinggi seluruh negara.
Akibat daripada ketempangan komunikasi ini telah menatijahkan kesusahan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga keluarga dan ibubapa.
Itu cerita yang ada kaitan dengan Covid-19. Dalam perkembangan yang lain pula, Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pula gagal menampilkan daya kepimpinan yang meyakinkan.
Selain isu gagal kuarantin kendiri yang mencetuskan cemuhan netizen, beliau juga tidak membawa kementerian tersebut jauh lebih baik berbanding Teresa Kok, menteri PH yang memegang portfolio yang hampir serupa.
Khairuddin bukan sahaja gagal tampil berbeza, sebaliknya hanya mampu mengitar semula idea Teresa Kok seperti industri buluh. Satu contoh mudah yang menunjukkan sikap hipokrit beliau adalah usaha untuk membaiki hubungan baik dengan India untuk meningkatkan eksport minyak sawit.
Secara terbuka, beliau sendiri mengakui bahawa salah satu punca yang menjurus kepada hubungan keruh antara Kuala Lumpur dan New Delhi sebelum ini adalah kerana tindakan India ke atas Kashmir.
Sikap ini amat berbeza jika beliau menjadi pembangkang. Jika ketika itu dia masih pembangkang, maka hampir pasti cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan ketika itu adalah memutuskan hubungan diplomatik dengan India sebagai tanda solidariti terhadap penduduk dan pentadbiran Kashmir.
Memang tidak sukar untuk disenarai panjang kelemahan PN. Tetapi setakat ini, walaupun lemah, Muhyiddin masih berkuasa sebagai perdana menteri dan pendekatan ‘scheme of things’ yang dilaksanakannya masih kuat menguasai.
Pada masa yang sama, satu persoalan perlu dirungkaikan adakah selama 22 bulan, PH telah gagal sebagai kerajaan?
Walaupun tidak adil untuk menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’ kerana memerlukan satu perbahasan yang panjang tetapi jika dirujuk kepada laporan terkini Ketua Audit Negara, ternyata PH belum boleh dilabel gagal sebagai kerajaan.
Menurut laporan tersebut, hasil kerajaan persekutuan yang telah diperoleh pada tahun adalah sebanyak RM264.4 bilion iaitu peningkatan sebanyak 13.5 peratus atau RM31.5 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Tetapi samada gagal ataupun tidak, sehingga kini apa yang jelas terpampang adalah Muhyiddin masih berkuasa di Putrajaya manakala PH pula bukan sahaja kelihatan lesu bahkan seperti tiada arah tuju untuk mendapatkan mandat rakyat yang telah dicuri.
Kini, apa yang pasti, PH telah terbahagi kepada tiga kumpulan. Pertama, kumpulan yang mengharap agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali bersama PH membentuk sebuah kekuatan baharu untuk menjatuhkan PN.
Kedua, kumpulan yang berharap PH lupakan Mahathir yang telah meninggalkan blok parti politik itu dan bersatu di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim untuk merampas mandat rakyat.
Kumpulan yang ketiga adalah yang merasakan PH perlu segera melupakan kewujudan Mahathir dan Anwar. Sebaliknya menampilkan barisan kepimpinan baharu yang lebih muda, lebih pintar dan lebih bertenaga dan agresif untuk membina PH dan momentum menuju PRU-15.
Gagasan atau idea seumpama itu memang mudah dilontarkan disebut tetapi siapakah yang berani untuk mencadangkannya kepada kepimpinan PH atau lebih penting memastikan keberkesanannya?
Jika Anwar dan Mahathir atau mungkin Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu pun sanggup berundur untuk memberi peluang kepada barisan kepimpinan baharu membina semula PH, apakah kemampuan yang dimiliki oleh setiap parti PH miliki?
Cukuplah jika membayangkan sebuah kempen ceramah politik tanpa kehadiran tokoh-tokoh politik seperti pimpinan PH kini, yakinkah kita akan kehadiran memberangsangkan dari kalangan rakyat tempatan?
Realiti politik di Malaysia secara umumnya tidak memberi peluang lumayan kepada golongan idealis untuk melontar dan menggerakkan idea. Hakikatnya politik di Malaysia masih perlu berpaut kepada imej ketokohan seseorang pemimpin. Malah inilah lesen yang kerap digunakan untuk bertanding dalam pemilihan parti.
Tetapi sementara PH masih bernaung di bawah kepimpinan tokoh-tokoh tersebut, situasi semasa kelihatan tidak berubah lebih baik. Ketidaktentuan hala tuju PH masih membingungkan ahli bawahan malah berisiko mencetuskan perbalahan sesama ahli sendiri. Sudah pasti situasi lesu PH yang merimaskan ini perlu ditamatkan pada kadar segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan