ARIF ATAN
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa penahanannya kelmarin sebagai “jelas berniat jahat” dan tiada laporan polis dibuat terhadap dirinya.
Menerusi FB Live malam tadi selepas keluar lokap, orang kanan Datuk Seri Najib Razak itu mengaitkan penahanannya dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tidak ada siapa buat laporan polis ke atas diri saya. Arahan Perdana Menteri ialah supaya IGP bertindak dan IGP mengarahkan anggota polis sendiri membuat laporan ke atas diri saya.
“Penahanan ke atas saya memang jelas berniat jahat dan political move Muhyiddin untuk mengekang pihak yang menentang beliau,” katanya dalam slot sembang dari sebuah restoran itu.
Lokman turut memberitahu dia tidur semalaman di lokap IPD Dang Wangi dan pagi semalam ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.
“Sepatutnya direman empat hari. Dua pegawai polis mahu reman empat hari.
“Tetapi peguam Logan berhujah dengan baik dan mahkamah majistret memerintahkan reman hanya satu hari untuk mengambil keterangan sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, Lokman berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersifat hanya sementara.
“Esok lusa Muhyiddin jatuh, apa yang dia buat hari ini akan digunakan untuk menentang dia.
“Salah laku dia hari ini, dia boleh didakwa ketika dia sudah jatuh. Itu yang saya maksudkan. Kalau berani buat, buat. Kalau berani buat, beranilah tanggung,” tegas Lokman lagi dalam FB Live selama 30 minit itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan