SHAH ALAM – Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dirancang sejak hari pertama menjadi kerajaan, dakwa bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Husam Musa.
Menurutnya, perkara itu sudah banyak kali dimaklumkan kepada pucuk pimpinan parti sejak tahun lalu, termasuk kepada Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub.
Dakwa beliau, salah satunya sikap Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri apabila melengah-lengahkan pelantikan senator dalam kalangan parti PH.
“Saya masuk (jadi senator) selepas PH jatuh tapi ada 16 kekosongan senator pada zaman PH. Tun (Mahathir) macam sudah simpan orang untuk dilantik kemudian di Dewan Negara macam Zahid Mat Arip dan Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Tengku Abdul Aziz) dan lain-lain.
“Ia (Dewan Negara) kini ia dikuasai oleh sebelah sana (kerajaan Perikatan Nasional).
“Bagi saya kejatuhan PH dirancang daripada awal, strateginya berjalan sendiri sampai masa 'tup' jatuh, cuma tarikh tidak tentu, tidak tetap,” katanya pada Sembang Santai Politik: Kejatuhan PH adalah satu rancangan di DHM Channel seperti dilaporkan portal berita Malaysia Gazette hari ini.
Tambah Husam, Ahli Parlimen Langkawi itu sengaja melambat-lambatkan pelantikan senator, sebaliknya segera membuat keputusan dalam banyak isu lain.
“Setiap sesuatu yang berlaku ada petanda oleh ALLAH termasuk kiamat yang ada tanda-tanda kecil dan besar sebelum ia berlaku.
“Sekiranya pembangkang sekarang mahu menggunakan jurutera yang sama (Mahathir) bagi merampas kerajaan, ia hanya membuang masa.
“Kita (PH) sangkut kerana tak ‘move forward’. Banyak cara lagi, bukan kata senang tapi selain Tun M jadi PM (semula) ada beratus lagi jalan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai dakwaan kononnya ada kerjasama antara Mahathir dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menubuhkan kerajaan Perpaduan, beliau menganggap ia membuang masa.
“Saya dengar Tun enam bulan jadi PM, Ku Li (Tengku Razaleigh) pun enam bulan, ini buang masa. Saya sudah sampaikan salam kepada orang yang baik dengan Ku Li, baik dia kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Justeru, pucuk pimpinan parti perlu mengambil kira pandangan minoriti dalam PH. Kalau makan kari Pelita (kedai mamak) hari-hari mana nak?” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan