Fomca cadang kerajaan naik cukai tembakau dalam Belanjawan 2021
FMT Reporters -
PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyarankan Putrajaya terus meningkatkan kadar cukai tembakau supaya kenaikan harga rokok akan mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat.
Penyelaras Kawalan Tembakau, Inisiatif @SmokeFreeMY Fomca Muhammad Shaani Abdullah berkata, kadar tabiat merokok rakyat masih belum memuaskan memandangkan Bancian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 menunjukkan kadar tabiat merokok masih di paras 21.3%.
“Kita lazim berdepan dengan komen, dengan harga berapa pun perokok tegar akan terus membeli dan merokok. Sebenarnya, langkah harga ini lebih mensasarkan golongan kanak-kanak dan bawah umur supaya rokok ini tidak mudah dibeli jika ia dijual pada harga tinggi.
“Kematian 20,000 orang setahun di Malaysia akibat penyakit dan kemudaratan kesihatan kerana merokok dan perokok pasif memerlukan perhatian yang bersungguh-sungguh untuk menangani gejala kesihatan ini,” kata dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Putrajaya turut melaksanakan larangan merokok di semua premis makanan dan menjual bahan makanan, yang dikuatkuasakan 1 Jan 2019 melalui pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004).
Menurutnya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (kastam) juga harus mempertingkatkan penguatkuasaan untuk membanteras masalah penyeludupan hasil tembakau, memandangkan ia antara masalah serius dihadapi negara.
“Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau) 2011 (Peraturan Pelesenan) diwartakan pada 22 Jun 2011 harus dikuatkuasakan segera.
“Ia supaya rantaian peruncitan hasil tembakau dapat dipantau daripada terlibat dengan hasil tembakau haram dan kegiatan penyeludupan,” katanya.
Pada Januari lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan untuk mengaktifkan semula Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) bagi menangani krisis penyeludupan.
Antara agensi diletakkan bawah MATF ialah kastam, polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Lembaga Kenaf dan Tembakau Malaysia (LKTM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan