"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin isi kuota 16 senator yang ditinggalkan Mahathir, kata Husam

FAZLI RADZI

Bekas Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa berkata, Tan Sri Muhyiddin dengan mudah melantik 16 senator baharu selepas tidak diisi Tun Mahathir Mohamad ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan.

Menurutnya, pemimpin PH termasuk tokoh masyarakat dan veteran tentera lebih layak dilantik mengisi kekosongan itu ketika PH masih berkuasa.

Reaksi Husam itu merujuk kepada respon Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar dengan menganggap terdapat kesilapan dalam laporan di portal berita Free Malaysia Today (FMT) yang memetik kenyataannya pada 2 November lalu sehingga “menimbulkan kekeliruan”.

“Dalam ucapan saya yang boleh dirujuk semula kepada klip berkenaan dalam internet, saya nyatakan rasa pilu saya ketika memasuki persidangan Dewan Negara selepas kejatuhan kerajaan PH kerana 16 senator yang baru dilantik oleh Muhyidin sebagai Perdana Menteri adalah kuota yang tidak di isi oleh Tun Dr Mahathir sebelumnya.

“Disebabkan kuota sebanyak 16 kerusi itu tidak diisikan setelah sebahagiannya telah kosong sekian lama, ia membolehkan Tan Sri Muhyidin mengisikannya dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Walau bagaimanapun, Husam yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan itu berkata, kekosongan 16 jawatan Ahli Dewan Negara itu seolah-olah telah disengajakan ditinggalkan tidak diisi sejak pengisian pertama hampir dua tahun sebelumnya.

“Peluang PH telah berlalu. Isu kekosongan ahli Senat ini telah acapkali dibangkitkan dalam mesyuarat PH tetapi tidak ada penjelasan diberikan.

“Kedudukan ini tidak sama dengan apa yang dipersoalkan oleh Datuk Mahfuz, seakan saya mempersoalkan kelambatan pelantikan saya sebagai Senator,” jelasnya.

Sehubungan itu, Husam yang juga Penasihat Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi AMANAH itu berharap penjelasannya dapat menghentikan kekeliruan berbangkit.

Mahfuz sebelum ini dalam respon kepada FMT menganggap dakwaan Husam bahawa Mahathir mahu menjatuhkan PH sejak hari pertama menjadi kerajaan termasuk sengaja melengah-lengahkan pelantikan senator dalam kalangan PH hanya pandangan peribadi.

Mahfuz juga menegaskan kenyataan Husam berkaitan Mahathir itu tiada kaitan dengan AMANAH.

“Kalau (Mahathir) lengahkan pelantikan senator (PH) tentu Husam pun tidak dilantik sebagai senator, malah Husam dicadangkan Tun untuk jawatan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, tapi dia tolak jawatan timbalan menteri,” katanya.

Dalam temubual bertajuk Malaysia Baharu menerusi GHB Media TV pada 19 Oktober lalu, Husam dilihat menyerang Mahathir dan membandingkan sifat pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Mahathir mengamalkan politik berseteru atau “cari gaduh” manakala karakter Anwar menjurus kepada politik penyatuan atau “cari damai”.

Tiada ulasan: