"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana orang yang didapati bersalah boleh jadi Pengerusi BNBBC?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Selepas berdiam diri lebih 48 jam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diberikan lagi tempoh sehingga 24 jam untuk menjelaskan berhubung pelantikannya sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pelantikan tersebut sama sekali tidak boleh diterima kerana ianya berlaku tiga bulan selepas Najib disabitkan atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram pada hujung Julai lalu.

Beliau juga membangkitkan bagaimana penasihat Barisan Nasional (BN) itu kelihatan ‘sangat senyap’ kebelakangan ini dan tidak mengatakan apa-apa langsung mengenai ketidaksesuaian beliau untuk dilantik sebagai pengerusi BNBBC di Parlimen.

“Walaupun beliau terus berdiam diri dalam tempoh 48 jam selepas berita mengenai pelantikan ini mula tersiar, saya memberikan Najib 24 jam lagi untuk memberikan penjelasan mengenai pelantikan beliau ini.

“Ianya jelas merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima dan merupakan satu penghinaan kepada kemuliaan dan reputasi Parlimen Malaysia.

“Terutamanya selepas Parlimen dimanipulasikan untuk mengharamkan perbahasan mengenai skandal 1MDB semasa beliau menjadi Perdana Menteri,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Najib Razak dilaporkan telah dilantik sebagai Pengerusi BNBBC yang diberikan peranan utama dalam perbahasan Belanjawan 2021.

Kit Siang bagaimanapun dalam kenyataannya semalam menyifatkan pelantikan tersebut sebagai memalukan dan menggesa Parlimen untuk tidak mengiktiraf pelantikan tersebut.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata, rakyat Malaysia tidak mahu lagi melihat reputasi negara terus dicemari dengan skandal 1MDB dan tidak mahu melihat negara kembali ke arah kleptokrat.

“Najib sebekum ini dengan amat pantas memberikan komen ke atas pelbagai perkara, namun beliau sangat-sangat senyap kebelakangan ini dan tidak mengatakan apa-apa langsung mengenai ketidaksesuaian beliau untuk dilantik sebagai pengerusi BNBBC di Parlimen

“Najib diberikan 72 jam untuk menjelaskan pelantikan beliau sebagai pengerusi BNBBC, memandangkan rakyat Malaysia tidak mahu melihat negara kita kembali ke arah sebuah kleptokrasi,” katanya lagi.

Tiada ulasan: