"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

C5 didakwa buat ‘grand design’ untuk hancurkan Umno

 SITI NUR ZAWANI MISCON

Datuk Zaharin Mohd Yasin mendakwa ketika ini wujud kumpulan dikenali sebagai C5 yang sedang merancang satu ‘grand design’ untuk menghancurkan Umno.

Bekas pemimpin Umno itu berkata, kumpulan C5 terdiri dari pemimpin Bersatu dan Pas biarpun parti itu tidak pernah menyatakan terlibat dalam rancangan tersebut.

“Ada satu kelompok yang dikenali sebagai C5. Ada yang berkata C5 ini melibatkan ahli Pas juga di dalam itu dengan satu grand design untuk membunuh Umno.

“Kalau tengok dari kenyataan-kenyataan Pas, tak ada yang menyebut bahawa dia tidak ada hasrat dan minat untuk terlibat dalam satu grand design menghancurkan umno

“Sebaliknya dapat dilihat (Pas) asyik sibuk mempertahankan dan menyokong PM. Dengan itu, dalam kalangan ahli parti khasnya Umno, rasa tersinggung dengan kelompok C5 ini,” katanya dalam satu wawancara di Youtube MABA Channel baru-baru ini.

Sebelum ini, Malaysia Dateline pernah mendedahkan bahawa wujud kumpulan C5 yang terdiri dari lima pemimpin sebagai perancang strategi paling atas dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sumber memberitahu, C5 telah wujud sejak lebih sebulan lalu lagi ketika kerajaan PN mula bercelaru atau sebelum kerajaan PN terbentuk lagi.

“C5 ini gabungan lima pemimpin Bersatu, Umno dan Pas yang berperanan untuk wujudkan Muafakat Nasional (MN Plus) dan berketuakan Muhyiddin,” kata satu sumber menerangkan siapakah C5.

Menjawab persoalan bagaimana Umno boleh ‘dimatikan’, Zaharin berkata ia boleh terjadi mengikut undang-undang apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membatalkan parti itu.

Beliau berkata, sehingga kini Umno masih belum mengadakan sidang di peringkat bahagian yang dengan itu tidak membolehkan perhimpunan Agung Umno dilakukan.

Sekiranya itu berlaku katanya, Ros boleh membatalkan Umno kerana melanggar peraturan.

“Kalau Ros ambil tindakan membatalkan Umno, Umno tak boleh jawab apa.

“Apa yang dilihat sekarang, C5 adalah orang yang menyerang Umno. kalau kita tengok cara-cara dilakukan, nampak dalam media sosial bahawa ianya ke arah itu,” katanya lagi.

Tiada ulasan: