Abdul Aziz Mustafa | |
KUALA LUMPUR, 7 Sept: PAS menuntut pemansuhan Borang Lampiran 2 yang mengandungi butiran nama, kad pengenalan dan nombor siri kertas undi yang diberikan kepada pengundi pos dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar juga mencadangkan agar ia juga dimansuhkan dalam semua pilihan raya yang akan diadakan selepas ini. "Apa yang berlaku sebelum ini, setiap pengundi pos perlu memasukkan kertas undi dan borang pengisytiharan itu ke dalam sampul surat undi pos, sebelum memasukkannya ke dalam beg undi. "Apabila sampul surat itu diperiksa, borang perakuan itu akan jelas menunjukkan identiti pengundi dan calon yang mereka undi yang mengakibatkan tidak ada lagi kerahsiaan pengundian yang menjadi prinsip asas dalam proses demokrasi. "Apabila tidak ada kerahsiaan, ia pasti mengakibatkan seseorang pengundi pos tidak berani mengundi calon lain selain dari yang diarahkan supaya diundi," katanya. Borang tersebut, menurut beliau, digunakan kerana didakwa merupakan perakuan bagi mengesahkan pengundi pos sudah diperuntukkan kertas undi. Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, dalam satu pertemuan antara wakil-wakil PAS dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini, pengerusinya ketika itu pernah berjanji untuk mempertimbangkan pemansuhan borang itu. "Bagaimanapun, tidak ada apa-apa yang berlaku selepas itu," katanya sambil menegaskan PAS akan membangkitkan habis-habisan isu undi pos dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang nanti. Bagi kerusi DUN Bagan Pinang, 4,925 dari 14,192 pengundinya adalah pengundi pos. Pilihan kecil dijangka diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional di situ, Allahyarham Azman Mohd Noor Jumaat lalu. Selain isu Borang Lampiran 2 itu, kata Mahfuz, PAS juga akan menuntut supaya wakil dari calon PAS bukan sahaja dibenar menyaksikan proses pengundian, malah dibenarkan bersama-sama mengawal peti undi pos sebelum dikira. "Kita akan berusaha habis-habisan untuk memastikan petugas-petugas yang mewakili calon PAS sama ada dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang dan pilihan raya lain yang akan diadakan kelak diberi hak demokratik mereka untuk menyaksikan proses pengundian, mengiringi perjalanan kotak undi pos serta bersama-sama mengawalnya sepanjang tempoh sebelum dikira. "Kesemua itu sangat penting dan perlu bagi memastikan perjalanan pilihan raya yang bersih, telus dan adil," kata beliau. Beliau yakin, pihak SPR dan semua pihak yang terlibat dengan perjalanan pilihan raya akan menyokong tuntutan PAS itu bagi membuktikan kepada rakyat negara ini dan seluruh dunia bahawa pilihan raya dijalankan dengan bersih, telus dan adil. Dari 14,192 pengundi pengundi di Bagan Pinang, 66 peratus darinya adalah pengundi Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain. Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, BN memenangi kerusi itu apabila mendapat 6,430 undi. Majoriti yang diperolehi oleh BN ialah sebanyak 2,333 undi setelah calon PAS, Ramli Ismail berjaya memperolehi 4,097 undi. Pengundi-pengundi pos di Bagan Pinang adalah dari lokaliti Pusasda Kem Si Rusa (1,903 undi), 2 KAD Kem Sunggala (1,130 undi), IJED Kem Kg Sawah (847 undi), IPDA Port Dickson (407 undi), 1 Kompeni KPD Kem Si Rusa (265 undi), 1 WKSP Bgd Kem Sg Sawah (165 undi), Sekolah Pertukangan Perintis (105 undi) dan ILMI Port Dickson (103 undi). Harakah sebelum ini pernah menyiarkan surat mengenai undi pos dari seorang pesara tentera yang memperkenalkan dirinya sebagai Mior Rosli. Dalam suratnya yang disiarkan oleh Harakahdaily 2 Mac 2008, beliau menekankan, undi pos tidak lagi relevan selepas zaman darurat, iaitu tempoh yang diisytiharkan oleh kerajaaan ketika negara ini berdepan dengan ancaman komunis dahulu. Beliau mendedahkan, "bukan masalah anggota tentera tidak mengundi Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat). Tetapi, hakikat sebenarnya ialah bukannya mereka yang mengundi". "Yang kita lihat di TV di mana anggota tentera mengundi, itu hanyalah 'sample' sahaja. "Kebanyakan anggota tentera termasuk suami dan isteri atau tanggungan yang layak mengundi (jika ada), biasanya dahulu diundi oleh sekumpulan anggota yang tidak dikenali," katanya. Beliau yang telah berkhidmat dengan tentera sejak awal 1970-an menyatakan, "setiap kali pilihan raya kami dimestikan mendaftar undi termasuk suami dan isteri". "Tetapi, semasa berkhidmat sehingga akhir 1990-an (24 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Bertauliah), saya tidak pernah mengundi dan tidak pernah melihat kertas undi. "Kalau tidak percaya cakap saya, tanyalah bekas-bekas tentera yang sekarang ini tidak menyokong BN," katanya lagi. |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
UBN Najib Altantuya: PAS tuntut dimansuh borang identiti pengundi pos
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan