"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Polis, Menteri Dalam Negeri memang berat sebelah

MOHAMAD SABU

Artikel 10 Perlembagaan Malaysia menjamin kebebasan rakyat untuk bersuara, berhimpun dan mengunakan sebarang pandangan. Hak asasi manusia memang dijamin di bawah Perlembagaan kita.

Manakala Akta Polis diperkenalkan, di antaranya, untuk mengawal dan meluluskan perhimpunan. Tetapi pihak polis selalu menggunakan akta ini untuk tidak membenarkan, menyuraikan bahkan menangkap orang yang menyertai perhimpunan haram.

Sudah beberapa kali keputusan mahkamah mengenai "perhimpunan haram" yang merumuskan bahawa pihak polis telah menyalahgunakan kuasa mereka dalam mengendalikan perhimpunan awam.

Kes-kes terbaru yang diputuskan oleh mahkamah telah menyalahkan pihak polis yang menangkap seseorang secara tidak mengikut undang-undang. Kes membabitkan Dr Hatta Ramli dan Dato' Mustafa Ali merupakan antara contoh penyalahgunaan kuasa pihak polis dalam menangkap seseorang. Pihak mereka (polis) terpaksa membayar wang ganti rugi kepada Dr Hatta dan Mustafa Ali yang ditangkap di kawasan 'autonomi' Parlimen.

Dalam pada itu, kecekapan pihak polis menyiasat, mengintip dan meramalkan gerakan rakyat amat dikagumi. Sebarang perhimpunan yang hendak dibuat, secara sulit sekalipun, pihak polis boleh terhidu perhimpunan yang hendak diadakan. Sebelum peserta perhimpunan sampai ke lokasi tunjuk perasaan, pihak polis telah berada di lokasi tersebut.

Kadangkala pihak polis telah bersedia dengan segala peralatan untuk meleraikan tunjuk perasaan atau perhimpunan. Senapang gas, pasukan bercota, lori yang membawa air asid telah tersedia untuk digunakan bila-bila masa oleh pihak polis.

Kecekapan pihak polis dalam menghadapi perhimpunan awam dan kecekapan mereka mengintip sebelum perhimpunan amat boleh difahami oleh kita. Kecekapan polis itu kadang-kadang amat kita alu-alukan.

Bagaimanapun kecekapan pihak polis itu ada peliknya juga , dan boleh dilihat kepelikan itu. Himpunan membabitkan NGO dan parti-parti pembangkang selalunya berakhir dengan penyuraian secara kekerasan, kadangkala diikuti dengan penangkapan.

Tetapi pihak polis seolah-olah dilihat tidak tahu tentang perhimpunan atau perarakan yang bakal dianjurkan pihak NGO propemerintah BN atau anjuran parti-parti BN itu sendiri.

Saya sendiri amat bersetuju mana-mana bahawa perhimpunan aman boleh dibuat oleh mana-mana pihak tanpa membawa sebarang senjata. Namun, perhimpunan dalam bentuk menghina bangsa-bangsa lain atau mana-mana agama hendaklah tidak dibenar sama sekali.

Perhimpunan bagi membela setinggan, menentang kenaikan harga barang, menentang ISA, mengutuk kekejaman Israel, membela bahasa ibunda adalah perhimpunan yang lumrah dan mengenai sasaran rakyat dan kepentingan semua pihak.

Dan tentulah perhimpunan NGO yang membawa kepala lembu, yang boleh dianggap menghina agama Hindu atau agama mana sekalipun, sewajibnya tidak dibenarkan.

Alangkah malangnya bagi pihak polis yang selama ini dilihat amat cekap tetapi tidak tahu tentang perhimpunan yang dianggap menghina agama itu hendak diadakan. Mereka bergerak bebas membawa kepala kembu hingga sampai ke lokasi yang mereka kehendaki.

Saya alu-alukan sebarang perhimpunan aman termasuk dalam hal membina kuil yang tidak sesuai dengan masyarakat setempat, tetapi jika sampai ke peringkat menghina agama lain, ia amat tidak sepatutnya diadakan.

Kalaulah NGO propembangkang yang berarak kepala lembu "hidup" seumpama itu, entah kepala ke mana, lembu ke mana, orang yang membawa entah ke mana! Pihak polis pasti akan bertindak cepat menyekat perhimpunan NGO propembangkang seperti itu, dan sudah tentu ia disudahi dengan penangkapan dan kekasaran.

Pihak polis mesti memperlihatkan bahawa mereka adalah adil dan dilihat adil dalam tindakan mereka. Apabila perarakan dan perhimpunan yang begitu kontroversi gagal tangani oleh polis, ia memperlihatkan bahawa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak bebas. Kita yakin pihak polis akan menangani dengan serius tanggapan masyarakat bahawa polis adalah berat sebelah.

Saya yakin pihak polis lebih tertekan apabila NGO yang menganjurkan perhimpun kontroversi kepala lembu itu diterima mengadap pula oleh Menteri Dalam Negeri. Sedangkan NGO atau parti-parti pembangkang, kadangkala memorandum yang mereka hantar kepada menteri hanya diterima oleh pegawai biasa sahaja.

Rakyat hendak melihat pasukan keselamatan (polis) mengembalikan wibawa mereka, sejajar dengan motto "Cekap dan Betul".
-detikdaily.net-

Tiada ulasan: