"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Ahmad Said ditegur kerana kaitkan Teoh bunuh diri

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 8 Sept: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan ditegur oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon kerana mengeluarkan kenyataan yang mungkin menjejaskan siasatan ke atas kes kematian Teoh Beng Hock.

Dalam satu kenyataannya, Koh berkata, Ahmad Said dan para pegawai kanan SPRM sepatutnya mengelakkan diri dari mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan dan juga inkues terhadap kematian Teoh.

"Mereka hendaklah lebih sensitif terhadap perasaan keluarga Teoh yang kehilangan orang yang disayangi, tidak kira sebab kematiannya yang menjadi topik siasatan," kata beliau.

Teguran Koh itu dibuat berikutan kenyataan Ahmad Said bahawa Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) mempunyai beberapa kes suspek membunuh diri.

"Walaupun ini mungkin kenyataan fakta berkaitan ICAC, komen terbuka oleh ketua SPRM ketika siasatan sedang berjalan boleh dianggap cuba mengandaikan bahawa bunuh diri mungkin menjadi sebab kematian Teoh, sedangkan siasatan belum mencapai keputusan konklusif," kata beliau.

Beliau berkata, orang ramai mengharapkan hasil konkrit dari SPRM dalam memerangi rasuah, satu daripada enam bidang pencapaian utama nasional yang diumumkan Perdana Menteri.

Beliau menekankan, SPRM mestilah "bebas dan dilihat bersifat demikian dalam pengendalian sebarang kes".

Keluarga Teoh pula mengecam kenyataan Ahmad Said yang mereka sifatkan cuba membayangkan pembantu politik kepada anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu membunuh diri.

Adik perempuan Teoh, Lee Lan menyatakan, Ahmad Said memberitahu akhbar Sin Chew Daily bahawa beliau dimaklumkan tentang kes sepuluh orang yang melompat dari bangunan tinggi selepas disiasat oleh ICAC sejak ia ditubuhkan.

"Beliau juga berkata, jika orang yang disiasat tidak tahan dengan tekanan dan terjun dari bangunan, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh SPRM," Malaysian Insider memetik Lee Lan berkata.

Bercakap bagi pihak keluarganya, Lee Lan mengingatkan: "Jika SPRM terus membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dibuktikan, kami bersedia berjumpa Perdana Menteri sekali lagi dan mendesak beliau menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian Beng Hock".

Beliau juga mencabar Ahmad Said menjawab tiga soalan iaitu, siapa yang melihat Teoh terjun dari bangunan yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, mengapa pula Teoh patut berasa tertekan sedangkan SPRM menyatakan beliau hanya saksi dalam siasatan dan adakah cara siasatan SPRM mengakibatkan tekanan ke atas saksi atau orang yang disyaki sehingga menyebabkan mereka terjun membunh diri?

Teoh ditemui mati ketika beliau ketika masih dalam siasatan SPRM.

Mayat beliau ditemui di luar pejabat SPRM di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam pada 16 Julai lalu, iaitu hari yang sama beliau sepatutnya mendaftarkan pernikahan dengan tunangnya.

SPRM mendakwa, Teoh hanyalah seorang saksi kepada siasatannya ke atas Ean yang disyaki menyalahgunakan dana kerajaan Selangor.

Inkues yang dijalankan oleh mahkamah koroner ke atas kematian Teoh disambung semula hari ini selepas berehat seminggu. Kematian Teoh mencetuskan kemarahan sebahagian besar rakyat terhadap SPRM.

Tiada ulasan: