Abdul Aziz Mustafa | |
KUALA LUMPUR, Sept 8: Ukuran Indeks Prestasi Utama (KPI) Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala ketika menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines (MAS) menimbulkan keraguan apabila dilantik sebagai menteri. Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, keberkesanan beliau mengawal pelaksanaan insiatif KPI serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi dalam MAS dibimbangi akan berulang dalam kerajaan Malaysia. Sebelum dilantik sebagai menteri, Idris adalah Pengarah Urusan dan CEO MAS mulai Disember 2005, selepas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu mengalami kerugian paling besar dalam sejarah korporatnya. "Beliau tidak boleh dianggap berjaya menjaga kepentingan syarikat yang diterajuinya ketika itu kerana kita tidak pernah mendengar beliau berusaha untuk mengambil tindakan mahkamah bagi mendakwa pihak yang terlibat dengan kerugian sebesar RM8 bilion yang ditanggung oleh MAS. "Kegagalan Idris untuk bertindak terhadap pihak yang mengakibatkan kerugian raksaksa kepada syarikat yang diterajuinya adalah tindakan yang tidak sepatutnya (conduct unbecoming) bagi seseorang pengarah urusan," kata Salahuddin ketika menjelaskan mengapa Idris tidak mempunyai KPI yang meyakinkan. Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, walaupun Idris pernah bersama-sama mengiringi pihak polis untuk memberikan taklimat mengenai kesalahan yang mengakibatkan MAS mengalami kerugian tersebut kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Badawi, tetapi kegagalam beliau mengambil tindakan mahkamah menyebabkan pihak yang mengakibatkan MAS menanggung kerugian sebegitu besar terlepas begitu sahaja. "Walaupun dua laporan polis telah dibuat dan siasatan polis juga telah dilaksanakan, mengapa Idris tidak menjalankan tanggungjawab berkanunnya untuk menjaga kepentingan MAS dengan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang mengakibat kerugian besar GLC itu? "Adakah beliau sengaja enggan mengambil tindakan atau beliau mahu mengambil tindakan tetapi tangannya terikat? "Jika tangannya terikat untuk melaksanakan tanggungjawab berkanunnya sebagai Pengarah Urusan MAS, apa jaminan tangannya tidak terikat untuk mengawal pelaksanaan insiatif KPI serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi di dalam kerajaan Malaysia?" Salahuddin mempersoalkan. Beliau juga membangkitkan persoalan adakah peneraju MAS yang mengakibatkan syarikat itu mengalami kerugian besar ketika itu "berani melakukannya seorang diri?" "Adakah Idris tidak mengambil tindakan mahkamah kerana ada pembesar-pembesar yang terlibat? "Sukar untuk dipercayai bahawa peneraju MAS ketika itu berani melakukan seorang diri tindakan-tindakan yang menyebabkan GLC itu mengalami kerugian yang amat besar," katanya. Pada 26 Mac 2007, bersama-sama Pengerusi MAS Datuk Munir Majid dan Pengurus Besar Bahagian Perundangan MAS Dr Wafi Nazrin Abdul Hamid, Idris dilaporkan pernah mengiringi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) ketika itu, Datuk Ramli Yusof untuk memberikan taklimat mengenai siasatan kerugian besar MAS itu kepada Abdullah. Bagaimanapun, tidak ada laporan yang menyatakan bekas Perdana Menteri itu mengarahkan tindakan diambil terhadap pihak yang menyebabkan kerugian besar itu. Ketika kerajaan membeli balik MAS dengan harga RM600 juta pada tahun 2001 dari Tan Sri Tajuddin Ramli, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu menanggung kerugian sebesar RM8 bilion. Sebelum itu, pada tahun 1994, Tajuddin membeli MAS melalui syarikatnya, Naluri Berhad. Siasatan polis mendapati kerugian besar itu diakibatkan oleh transaksi palsu, pelanggaran bidang-bidang tugas fidusiari serta pelanggaran bidang-bidang tugas berkanun. Menurut laporan yang dibuat kepada pihak polis, Tajuddin dan rakan-rakan niaganya dikaitkan dengan kerugian besar itu. Antara lain, kontrak-kontrak yang meragukan dilaporkan telah dianugerahkan kepada Edaran Komputer Sdn Bhd, Edar ALS Sdn Bhd, ALS Advanced Logistics System Gmbh dan ACL Gmbh. Dua laporan polis telah dibuat pada 4 Januari 2002 dan 4 Mei 2005 terhadap Tajuddin dan rakan-rakan niaganya iaitu Raplh Gotz, Wan Aishah Wan Hamid dan Rizana Daud. |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
UBN Najib Altantuya: KPI Idris diragui untuk jaga KPI Malaysia
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan