Nasreel Khalib,Illinois. | |
Salam Ramadhan buat semua. Saya mengikuti perkembangan isu kuil di Shah Alam dari jauh dengan penuh minat. Dalam kita menerima kunjungan Ramadhan yang mulia ini, kita dikejutkan dengan tindakan yang sangat menyedihkan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam dalam protes mereka terhadap cadangan pembinaan kuil di syeksyen 23 Shah Alam. Mereka bertindak menghina agama Hindu dalam keadaan yang sangat ekstrem - sesuatu yang dilarang oleh Islam itu sendiri. Tidak pernah kita diajar oleh Rasulullah agar menghina agama-agama lain. Alasan yang dipersoalkan beberapa penduduk setempat sangat mudah, mengapa perlu dibina kuil di kawasan yang majoritinya penduduk Melayu Islam. Sebentar tadi saya membaca yang proses pemindahan kuil ini telah dibekukan disebabkan oleh kekecohan yang berlaku semasa sesi dialog diantara kerajaan negeri dan penduduk setempat. Kebetulan pada ketika ini saya berada di bumi Amerika atas urusan kerja. Sudah hampir tiga bulan saya disini bersama keluarga. Menyambut Ramadhan bersama penduduk minoriti Islam Des Plaines Illinois. Saya dapat melihat sesuatu yang amat 'ganjil' disini, di tengah-tengah bumi Amerika yang penduduk Islamnya tidak sampai 1%, tersergam masjid yang indah dan selesa. Malah Masjid ini juga hanyalah beberapa ratus meter jaraknya dari sebuah gereja Katholik. Tidak pula kelihatan masyarakat Kristian disini berdemo dan membantah kewujudan Masjid disitu. Malah apa yang lebih dikagumi ialah setiap kali waktu solat Jumaat, akan ada beberapa orang pegawai Polis 'mat saleh' bukan Islam yang akan mengawal lalulintas dan parking didalam kawasan Masjid. Mungkin, itu perkara biasa, seminggu sekali. Tetapi apabila bermulanya Ramadhan, saya dapat melihat bagaimana mereka bertugas setiap malam. Kebetulan Ramadhan tahun ini berlangsung di hujung musim panas, maka waktu Isya'nya sedikit lewat dari Malaysia. Pegawai-pegawai Polis ini masih lagi bertugas menjaga lalulintas dan parking sehinggalah Terawikh tamat pada jam hampir 11.30 malam. Keliru saya memikirkan situasi di sini apabila dibandingkan dengan situasi kuil di Shah Alam. Malu dengan perbuatan dan sikap segelintir umat Islam di Malaysia. Apakah mungkin masyarakat Kristian di Amerika ini lebih baik dari Umat Islam di Malaysia? Dimanakah keadilan dan keindahan Islam yang ingin kita tonjolkan? Apakah mungkin masyarakat bukan Islam dapat melihat keindahan Islam dalam situasi ini. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada beberapa pimpinan PAS yang telah berani menyatakan kebenaran dalam keadaan yang sukar ini terutamanya kepada YB Khalid Samad, Dato' Mahfuz, Dr Mariah dan beberapa yang lain. Pun begitu, saya berharap lebih ramai lagi pemimpim-pemimpin Islam dari parti PAS terutamanya yang akan tampil kehadapan bagi memberi sokongan kepada kerajaan Negeri Selangor dan menyatakan pendirian Islam dalam isu pemindahan kuil ini. Masyarakat sedang memerhatikan, apakah benar slogan keadilan Islam yang dilaung-laungkan. |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
UBN Najib Altantuya: Toleransi Agama: Selangor Malaysia vs Illinois USA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan