"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semua pasar raya di Kelantan dilarang operasi pada raya pertama

KOTA BHARU: Semua pasar raya di Negeri Kelantan telah diarah menutup premis perniagaan masing-masing pada hari raya pertama tahun ini sebagai tanda menghormati hari kebesaran perayaan umat Islam.

Pengerusi Pihak Berkuasa Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tahun lalu, Kerajaan Negeri membenarkan semua pasar raya membuka premis perniagaan mereka dari tengah hari sehingga tengah malam.

“Bagaimanapun, kami telah menerima pelbagai aduan dan rungutan termasuk majikan enggan membayar kerja lebih masa pada hari cuti am dan pada masa yang sama kami juga turut menerima aduan daripada pekerja Islam bahawa mereka telah didenda kerana enggan bekerja pada hari raya pertama,” ujarnya.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Exco petang Rabu, Takiyuddin menambah, pihak berkuasa tempatan akan mengedarkan pekeliling memaklumkan kepada semua pengusaha pasar raya akan peraturan baru ini.

Sementara itu, Takiyuddin juga memaklumkan mulai 1 Januari tahun hadapan, semua papan tanda baru (billboard) mestilah mempamerkan tulisan Jawi yang sama ada sama besar atau lebih besar daripada Bahasa Malaysia, Cina, Tamil ataupun Siam.

Langkah terbaru ini adalah untuk memastikan tulisan Jawi mendapat kedudukan yang sewajarnya dan juga sebagai satu langkah untuk mempopularkan tulisan Jawi.

Kata Takiyuddin semua peniaga dibenarkan mengguna bahasa Ibunda masing-masing selagi Jawi diberikan kedudukan yang utama pada papan tanda iklan.

-mstar.com.my-

Tiada ulasan: