Norlaila Othman | |
"Apa yang Abah tulis tu?" tanyaku pada Suhaib yang termenung seketika sebaik saja membaca surat dari bapanya, Mat Sah yang masih dikurung di Kem Kamunting. "Abah minta Suhaib shopping raya last minute ... mana tahu kalau-kalau Abah akan dibebaskan dua tiga hari sebelum 1 Syawal," kata Suhaib panjang lebar. Aku merenung wajah Suhaib.Senyum pun tidak. Mata kami berpandangan. Suhaib tunduk merenung isi surat yang ditulis oleh bapanya. "Suhaib rasa macam mana? Percaya ke Abah akan dibebaskan sebelum Hari Raya?" tanyaku lagi. �Entahlah ... tiap tahun Abah kata akan dibebaskan pada Hari Raya, tapi sampai sekarang masih dikurung juga," jawab Suhaib dengan wajah yang agak murung. Akhirnya perbualan tentang isi surat itu terhenti setakat itu saja.Suhaib segera masuk ke biliknya. Ketika aku meletakkan lipatan baju di atas katil di biliknya, Suhaib sedang khusyuk membaca Al Quran ... Rutin hidup yang perit dan pelik Pada tahun 2009 ini, masuk lapan kali Suhaib berpuasa tanpa bapa kandungnya. Sekiranya bapanya sudah pergi mengadap Ilahi, mungkin tiada apa yang perlu dipersoalkan lagi kerana setiap manusia yang hidup, pasti akan menemui mati. Tetapi, tidak semua manusia yang hidup di bumi Allah ini, fitrahnya akan menjadi mangsa akta tahan tanpa bicara ISA. Tidak ramai yang merasai betapa peritnya hidup terpaksa membesar sebagai seorang anak pada tahanan ISA hingga tujuh tahun lamanya! Sejak berusia lapan tahun lima bulan, Suhaib terpaksa menyesuaikan dirinya dengan jadual kehidupan yang agak pelik. Setiap dua minggu sekali, beliau terpaksa mengikut ibunya ke daerah Taiping untuk menemui bapanya yang dikurung di Kem Kamunting. Perjalanan yang agak jauh, selama empat jam dari Kuala Lumpur ke Taiping dan empat jam dari Taiping kembali ke Kuala Lumpur, memang amat meletihkan. Tidur dalam kereta sudah menjadi rutin hidupnya. Bila tiba di Kem Kamunting pula, beliau terpaksa berhadapan dengan pemandangan yang kurang sihat. Pemeriksaan oleh warden beruniform coklat gelap dengan cotar dan kadang-kadang senapang di pinggang, memang amat mengganggu perasaan. Waktu pertemuan yang singkat, selama 45 minit, menggunakan interkom, disaksikan oleh beberapa orang warden turut hadir dalam ruang lawatan keluarga yang sempit itu ... menghilangkan terus kegembiraan pertemuan antara anak dan bapa. Suhaib telah terpaksa melalui semua peraturan ini dari umur lapan tahun hinggalah kini menginjak usia remaja, 16 tahun. Kurang mengenali bapa Suhaib membesar tanpa kasih sayang, sentuhan dan bimbingan bapanya. Beliau juga kurang mengenali personaliti lelaki yang sering di panggil 'Abah' itu. Beliau mengaku, terlalu banyak perkara yang tidak diketahui tentang bapanya. Waktu lawatan selama 45 minit setiap dua minggu itu, terlalu pendek untuk digunakan bagi mengukuhkan silaturrahim antara seorang anak dan bapa. Beliau juga amat jarang berkongsi urusan peribadi dengan bapanya kerana sudah memahami hakikat bahawa bapanya tidak dapat menyelesaikan permasaalahan yang dihadapinya. Beliau ingin meluahkan pelbagai perasaan yang terbuku di hati, namun sering melupakan saja hasrat itu sebaik saja melihat bapanya di sebalik cermin kaca. Suhaib terpaksa memahami hakikat bahawa bapanya juga tiada kebebasan untuk memenuhi keperluan dan kehendak dirinya sendiri .... Sebagai ibu, aku amat bimbang dengan perkembangan personalitinya kerana aku gagal mendapatkan seseorang yang boleh menjadi 'father figure' kepada Suhaib. Aku berserah pada Allah, supaya Suhaib membesar sebagai remaja yang sihat dan normal. Aku akui, kekurangan 'self esteem' itu tetap ada, namun ianya tidaklah terlalu ketara. Iktikaf Ramadan Di sepuluh hari terakhir Ramadan ini, Suhaib kelihatan sibuk dengan program iktikaaf yang dianjurkan oleh sekolahnya. Beliau juga nampaknya lebih serius untuk menghabiskan semua juzuk dalam al-Quran dengan segera. Buat sementara, beliau tidak menyentuh komputer dan tidak membuka televisyen untuk menonton drama atau rancangan sukan. Dalam hal ini, aku amat bersyukur kehadrat Allah kerana Suhaib berada "in good hands". Ingin saja kutuliskan nama sekolah yang begitu moden tetapi menerapkan ciri-ciri Islam dalam sistem pendidikannya hingga ianya mampu membuat Suhaib 'hidup' sempurna sebagaimana remaja lain. Namun aku yakin, bila saja nama sekolah itu terpampang didada media, pastinya polis Cawangan Khas berpakaian biasa, iaitu SB, akan berkejar ke lokasi itu dan akan mengintai pengoperasian sekolah tersebut! Ahhh ... lupakan sajalah segala pujian itu. Biarlah Allah saja yang membalas jasa semua guru dan kawan-kawan yang banyak memberi bimbingan dan dorongan yang positif kepada Suhaib. Persiapan menyambut Aidilfitri Mengikut kebiasaan adat Melayu, ketika menuju akhir Ramadan, orang ramai akan disibukkan dengan budaya membeli-belah dan membuat pelbagai persiapan untuk menyambut hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Ada kalanya ramai yang lupa bahawa, pada sepuluh akhir Ramadan, masa dan tenaga sepatutnya ditumpukan untuk mengejar malam Lailatul Qadar yang amat besar pahalanya itu. Sebelum menerima surat dari bapanya, Suhaib memang tidak begitu memikirkan tentang sambutan Aidilfitri, kerana yang penting ialah menyempurnakan ibadah di bulan mulia ini. Di saat itulah Suhaib bermunajat supaya penipuan dan pembohongan yang dilakukan oleh SB ke atasnya selama tujuh tahun ini segera dihentikan. Beliau amat kesihan melihat bapanya yang terlalu rindu untuk menikmati kehidupan sepertimana manusia normal yang lain. Beliau amat berharap agar bapanya segera dibebaskan. Ini hanyalah sekelumit dari kisah Suhaib. Bagaimana pula dengan kisah anak-anak tahanan ISA lain yang masih dikurung di Kem Kamunting. Siapakah yang prihatin dengan nasib mereka? Tidakkah anda juga ingin mengurangkan kesusahan mereka di saat lebaran hampir menjelang tiba? Kepada anda yang perihatin dengan nasib malang anak-anak mangsa ISA ini, anda masih berpeluang untuk membantu menggembirakan hati mereka dengan memberi sumbangan kewangan yang boleh mereka gunakan untuk membuat sedikit persiapan menjelang hari mulia nanti. Sumbangan boleh dimasukkan di akaun May Bank, 162209939776, Nashita Md Noor, Hp 0132096373.Bendahari Gerakan Mansuhkan ISA(GMI). |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Suhaib dan 10 hari terakhir Ramadan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan