"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sedekah akhir Ramadan, kekecohan di Ipoh dan PRK Bagan Pinang

AHMAD LUTFI OTHMAN

PANTAS sungguh Ramadan beredar. Kini hampir memasuki fasa ketiga dan terakhir, yakni pembebasan dari api neraka. Tahniah buat mereka yang dapat merangkul penuh nikmat hari-hari yang berlalu itu. Ramadan dan al-Quran bagai terpisah tiada. Dr 'Aid Abdullah Al-Qarni menulis: "Rasulullah mempelajari al-Quran bersama Jibril pada bulan Ramadan. Baginda mendengarkan bacaan al-Quran, menghayati, membaca, melaksanakan kandungannya, melapangkan hatinya dan menggali cinta dalam muitara hikmah al-Quran."

Seorang teman bertanya, melewati 15 hari puasa, sudah berapa kali khatam Quran?
Ramadan juga sepatutnya mendekatkan kita dengan golongan fakir miskin, mereka yang kesempitan dan memerlukan bantuan segera. Hati dapat dijernih-lunakkan apabila mendampingi dan menyantuni saudara seagama yang tidak bernasib baik ini. Didiklah diri dengan bersedekah di bulan yang amalan sunat menyamai tuntutan wajib.

Insya-Allah segala ketamakan dan kerakusan yang memenjara diri perlahan-lahan reda. Di tengah gejolak budaya hidup materialisme menggila ini, Ramadan bisa mengasuh jiwa agar bersederhana dan tidak menunjuk-nunjuk kekayaan. Ayuh ... segeralah menyumbang, sekurang-kurangnya menjamu makan kepada mereka yang berpuasa.

II.

Semasa pergolakan yang dirancang di Shah Alam belum kendur (saya begitu terkesan dengan penghinaan yang mengaitkan 'Takbir' dengan 'Take Beer'; ia sebenarnya memperolokkan agama, bukan sekadar menyindir PAS), bandaraya Ipoh sekali lagi menjadi tumpuan.

Sidang Dun Perak terpaksa diadakan di sebuah hotel apabila Adun-Adun Pakatan Rakyat dihalang dari memasuki Bangunan SUK. Malang dalam sebuah negara demokrasi, polis terus diperalat. Dalam usaha menyuraikan perhimpunan, baik di Shah Alam mahupun di Ipoh, jelas nampak diskriminasi.

Seperti biasa, media talibarut memperleceh usaha Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan rakan-rakannya. Pelbagai label buruk dihambur, dan pastinya yang tidak ditinggalkan adalah tuduhan bahawa Menteri Besar yang dipilih rakyat itu derhaka kepada Sultan kerana tidak mendapat perkenan untuk adakan sidang Dun.

Umno-BN yang merampas kuasa di Perak awal tahun ini sentiasa mengelak dari membicarakan isu sebenar. Lagi-lagi dakwaan palsu PAS menjadi boneka DAP dan Nizar tunduk kepada kepentingan bukan Melayu. Walhal isu BN 'membeli' tiga Adun Pakatan dan sidang Dun - di bawah pokok atau di dewan hotel - yang sah itu cuba disembunyikan.

Jalan keluar hanya satu, dan itulah yang turut disuarakan Suhakam, Majlis Peguam dan veteran Umno seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Dun Perak mesti dibubarkan. Tiada pilihan lain!

III.

Siapa menduga, selepas SPR (yang jelas dipengaruhi kepentingan Umno-BN) menolak keperluan mengadakan pilihan raya kecil di Kota Siputeh, Kedah, fokus kini tertumpu ke Negeri Sembilan.

Kalau dahulu, politik di negeri berkenaan jarang diperhatikan. Pada 1990, Dato'Seri Dr Rais Yatim, bekas Timbalan Presiden Semangat 46 cuba mengocak ketenangan di Jelebu tetapi tidak berjaya.

Kini, pengaruh Pakatan Rakyat Negeri Sembilan, jika dilihat penguasaan kerusi Dun, malah jauh lebih hebat daripada Terengganu (yang turut bergolak hebat antara kem Ahmad Said dan Idris Jusoh). Majoriti dua pertiga BN dinafikan dalam pilihan raya Mac 2008.

Dun Bagan Pinang menarik kerana ia kerusi tradisi BN walaupun terletak di bawah Parlimen Teluk Kemang yang dikuasai KeADILan (dua dari lima Dun di bawahnya milik KeADILan dan satu DAP).

Sebelum ini, semua kerusi pilihan raya kecil di Semenanjung - kecuali di Kuala Terengganu - penyandangnya dari Pakatan. Di KT, PAS beradu pengaruh dan menang.

Memang cukup manis kemenangan itu dan perit buat Umno. Inilah yang digeruni Dato' Seri Najib Razak - kalah di gelanggang sendiri.

Dalam pilihan raya umum ke-12, Negeri Sembilan menjadi penampan arus kebangkitan rakyat dari merebak ke selatan. Pakatan hanya perlukan 4 Dun untuk memerintah. MB Mohamed Hassan (Dun Rantau) dan lebih-lebih lagi Khairy Jamaluddin (Parlimen Rembau) tentu mahu 'tunjuk jasa' kepada Najib.

Adun tunggal PAS sudah ada di Paroi, dan yang pastinya cabaran sengit menunggu di Bagan Pinang. Peluang terbuka, namun yang dipertaruhkan adalah maruah Najib dan potensi Umno-BN menjelang pilihan raya ke-13. Warga Lembah Klang tidak perlu pergi jauh untuk memeriahkannya!

Tiada ulasan: