"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Peguam Negara perlu jaga keselamatan rakyat - MB Selangor

Harakahdaily
SHAH ALAM, 9 Sept: Kerajaan Negeri Selangor meminta Peguam Negara bukan hanya perlu menjaga kepentingan SPRM sahaja tetapi juga kepentingan dan keselamatan 18,312 pegawai dan kakitangan Negeri Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, Kerajaan Negeri Selangor komited dalam melindungi kepentingan dan keselamatan semua pegawai dan kakitangannya.

Sehubungan itu, katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, setelah mendapat persetujuan EXCO, telah mengeluarkan Pekeliling No. 4 bertarikh 22 Julai 2009 yang menyatakan bahawa Pegawai dan Kakitangan perlu memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di antara 8.00 pagi sehingga 6.30 petang di dalam pejabat masing-masing dan dengan diberi akses kepada khidmat guaman.

Malangnya, kata beliau, keputusan ini ini telah ditentang oleh Peguam Negara Malaysia yang telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Ogos 2009 untuk membatalkan pekeliling tersebut.

"Saya sebagai Menteri Besar dan bagi pihak Kerajaan Negeri telah pun menjawab afidavit Peguam Negara dan antara lain telah menyenaraikan kes-kes penyiasatan dan soal-siasat yang telah dilakukan oleh SPRM di semua peringkat.

"Ia bermula dengan saya, sebagai (i) Menteri Besar, (ii) Pegawai Kewangan Selangor (iii) pekerja-pekerja di Pejabat Menteri Besar (iv) Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) dan (v) pembantu mereka, (vi) Ahli Dewan Negeri Selangor, (vii) kakitangan awam di Pejabat Tanah dan Daerah dan Majlis Perbandaran di negeri Selangor dan juga (viii) kakitangan Syarikat-syarikat Negeri dan anak-anak syarikatnya," katanya.

Siasatan yang dijalankan, katanya, akan dibuat secara mengejut tanpa mengira masa, sehingga ada yang melewati tengah malam dan keesokan harinya.

"Malah, saya juga telah memperincikan bagaimana siasatan SPRM telah dilakukan secara rambang sehingga kerapkali berlaku pemancingan bukti semata-mata," katanya.

ImageSelain daripada afidavit tersebut, Kerajaan Negeri Selamgor juga telah memfailkan satu Saman Dalam Kamar juga di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membatalkan permohonan Peguam Negara.

"Kami berasa perlu membuat permohonan ini kerana, kami berpendapat, antara lain, Peguam Negara tiada locus standi untuk memulakan prosiding ini yang sepatutnya dimulakan oleh SPRM," katanya.

Beliau menyatakan bahawa Seksyen 30 Akta SPRM yang membenarkan para pegawai SPRM menyoal siasat pada bila-bila masa dengan menggunakan apa cara sekalipun perlu dilaksanakan dengan mengambil kira hak-hak di bawah Perlembagaan dengan pendekatan penyiasatan yang professional.

Di dalam kes ini, hak-hak asasi telah dikesampingkan dan berlaku pelanggaran hak kebebasan asasi atau kebebasan diri yang diperuntukkan dalam Perkara 5(1) dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Kerajan Negeri juga, katanya, berpendirian bahawa peruntukan SPRM tersebut juga tidak konsisten dengan hak seorang pekerja Kerajaan Negeri Selangor yang telah ditahan untuk dinasihati oleh seorang peguam pilihannya seperti yang disebut dalam perkara 5(3) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri juga berpendapat tindakan SPRM merupakan satu bentuk diskriminasi yang nyata terhadap Kerajaan Negeri Selangor berbanding dengan kes-kes lain yang disiasat di negeri-negeri lain di Malaysia pada masa yang sama.

"Oleh itu, kami juga berpendirian bahawa peruntukan tersebut adalah tidak konsisten dengan perlindungan Kesamarataan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan dan merupakan satu bentuk diskriminasi kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor dalam perkara 8(2) dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, pada pandangan saya, adalah wajar bahawa sebagai penjaga kepentingan awam, Peguam Negara Malaysia bukan hanya perlu menjaga kepentingan SPRM sahaja tetapi juga kepentingan dan keselamatan 18,312 pegawai dan kakitangan Negeri Selangor," tegas beliau dalam kenyataannya.

Tiada ulasan: