"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nizar: Kerajaan Selesai Rayu Kes Malek Hussin

Kes mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Abdul Malek Hussin selesai dirayu hari ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Menghadapi rayuan dari pihak kerajaan, Peguam Sivarasa Rasiah mewakili Malek membuat penghujahan hari ini meminta supaya penghakiman Hakim Datuk Mohd Hishamuddin mohd Yunus dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikekalkan.

"Kita menghadapi rayuan dari pihak kerajaan yang merayu terhadap penghakiman yang memihak kepada mangsa," kata Sivarasa.

"Kami juga telah mengemukakan hujah dan mahkamah akan mengumumkan keputusan rayuan ini pada satu tarikh nanti," tambah beliau.

Pada 18 Oktober 2007, Hakim Hishamudin memerintahkan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi am RM2.5 juta kepada Malek sebagai gantirugi kepada penderaan yang dialaminya dalam tahanan pemerintah.

Pada Mac 1999, Malek menfailkan saman terhadap pendera, iaitu Asisten Supritendan (ASP) Borhan Daud dari Cawangan Khas PDRM sebagai defendan ke-1, Tan Sri Rahim Noor defendan ke-2 dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ke-3.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Malek telah didera fizikal, mental dan seksual sehingga tidak sedarkan diri semasa dalam tahanan polis.

Malek ditahan pada 26 September 1998 selepas menyertai satu demonstrasi reformasi di Masjid Negara.

Beliau ditahan selama 57 hari tanpa bicara dan dibebaskan hanya pada 21 November 1998 di bawah ISA.

"Banyak isu yang kami bangkitkan, terutama sekali hak dalam tahanan serta penemuan-penemuan kesan deraan yang dihadapi mangsa," kata Sivarasa.

"Bagi saya, keputusan Hakim Hishamuddin menghukum pihak berkuasa di atas apa yang berlaku adalah tepat dan keputusan ini harus dikekalkan dan tidak diubah dalam apa cara pun," tambahnya lagi.
-tvantara.com-

Tiada ulasan: