"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno susah bangkit semula

Timmy Say
Umno kini di zon yang mereka tidak pernah alami. Mereka hilang arah dan sumber pendapatan. Wakil-wakil rakyatnya berada dalam keadaan panik akan masa depan mereka.

Umno satu-satunya parti Melayu yang besar yang tidak pernah menjadi pembangkang sebelum 9 Mei 2018.

Di zaman BN memerintah, mereka melatih pembangkang seperti PAS, DAP dan PKR selama berdekad lamanya untuk terus hidup tanpa sebarang peruntukan. Pasa masa yang sama, mereka melatih diri untuk terus hidup dalam keadaan bermewah. Oleh itu, PAS, DAP dan PKR boleh terus hidup meskipun tewas pilihan raya berkali-kali.

Namun, tiada siapa yang tahu apakah Umno boleh terus hidup selepas kekalahan sulung pilihan raya umum.

Umno kini parti tanpa presiden dan timbalan presiden yang sah. Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahidi hanyalah pemangku presiden selepas perletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak.


Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti akan datang. Ini bermakna kelima-lima jawatan tertinggi Umno iaitu presiden, timbalan presiden dan 3 naib presiden hanya tinggal Zahid seorang.

Seperti Najib, Zahid juga memikul tanggungjawab yang besar atas kekalahan Umno di PRU14 kerana sudi menjadi “yes man” kepada Najib sambil tidak berbuat apa-apa untuk mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal yang cuba menyelamatkan parti dengan menyerang Najib.

Oleh itu, secara moralnya beliau tidak sepatutnya menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan presiden. Pendedahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Zahid menemuinya untuk bertanya bagaimana menguruskan Umno juga mendedahkan krisis keyakinan terhadap Zahid.

Ia mendedahkan beliau juga hilang arah untuk memperbetulkan Umno.

Persoalannya siapakah yang sudi menggalas tugas sebagai presiden Umno yang berat ini sekarang.

Apakah Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sanggup menggalasnya?

Sanggupkah beliau sekali lagi berentap dengan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri dan beliau sebagai pembangkang utama di Parlimen seperti 1988?

Jawatan presiden Umno perlu diberikan kepada seseorang yang boleh mengubah perasaan meluat rakyat terhadap Umno. Calon ini semestinya seorang yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan mempunyai kemampuan untuk mencari sumber memacu operasi Umno.

Jawatan presiden Umno kali ini tidak akan menjadi rebutan seperti dulu kerana jawatan ini tidak akan memberi nikmat kesenangan seperti dulu. Bahkan, jawatan ini bakal menjadi jawatan yang paling “stressful” dalam politik Malaysia hari ini.

Beliau bukan sahaja perlu mencari formula untuk menghentikan penghijrahan wakil-wakil rakyat dan ahli-ahli Umno ke PPBM, beliau juga terpaksa berdepan keruntuhan BN apabila PBB menjadi parti bebas dan menyokong Pakatan Harapan.

Oleh itu, tidak ramai yang sanggup dicalonkan dan menawarkan diri.

Melihat keadaan ini, nampaknya hanya PAS yang akan kekal sebagai pembangkang yang efektif pada penggal ini; sementara Umno mencari jalan berfungsi semula sebagai parti, jika jalan tersebut ada.

Apakah yang akan terjadi kepada politik orang Melayu selepas ini.

Tiada ulasan: