"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tajaan Haji Yayasan 1MDB: Kerajaan digesa pastikan status 1,200 peserta

MOHD ALI HASHIM
Kerajaan perlu mengesahkan status dan kedudukan bakal 1,200 jemaah Haji tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun 2018.

Jemaah haji yang ditaja oleh 1MDB perlu disahkan status terkini selepas syarikat berkaitan kerajaan itu disiasat dengan penuh teliti.

Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Kedah Ridzwan Abu Bakar, berkata, ini susulan pendedahan demi pendedahan amat mengejutkan rakyat mengenai siasatan 1MDB oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Siasatan melibatkan 1MDB masih lagi dalam proses dan belum selesai sepenuhnya.

“Bakal jemaah haji yang ditaja 1MDB dianggarkan seramai 1,200 orang terdiri dari imam masjid dan pemimpin masyarakat.

“Mereka telah pun menerima surat tajaan terbabit sebelum pilihan raya umum ke 14 baru-baru ini, ” ujar beliau dalam kenyataannya.

Sehubungan itu tegasnya, kerajaan Pusat perlu segera mengurangan kegelisahan bakal jemaah haji terbabit.

Selain itu katanya, adalah amat penting bagi kerajaan mendedahkan dengan kadar segera punca modal tajaan jemaah haji ini.

“Jemaah haji terlibat sudah pasti ingin tahu kedudukan perkara sebenar melibatkan tajaan mereka ke tanah suci.

“Apakah tajaan tersebut dari akaun 1MDB yang masih menjadi persoalan dan tanda tanya yang belum terungkai.

“Ataupun tajaan untuk melaksanakan ibadat haji tersebut adalah daripada akaun Tabung Haji sendiri, ” soalnya.

Oleh kerana itu tambahnya, memandangkan masa yang semakin singkat selepas Ramadan berakhir, maka kerajaan harus memandang serius perkara ini.

Sarannya lagi, penjelasan segera kerajaan mengenai status bakal jemaah haji yang ditaja tersebut harus diberi perhatian serius dengan secepat mungkin.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ketika meraikan 1,200 bakal jemaah haji tahun 2018 pada Februari lalu.

1MDB merupakan satu-satunya syarikat korporat yang melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu umat Islam di negara ini menunaikan rukun Islam yang kelima itu secara berterusan di bawah pentadbiran kerajaan BN dahulu.

Bagi menjayakan program tersebut, Yayasan 1MDB telah membelanjakan lebih RM56 juta untuk memastikan lebih ramai rakyat negara ini, termasuk masyarakat di dalam dan luar bandar berpeluang menunaikan rukun Islam kelima tersebut.

Mengikut rekod, program tersebut melibatkan seramai 111 orang pada 2011 dan 400 orang (2012) serta 800 jemaah (2013), manakala empat tahun selepasnya masing-masing melibatkan seramai 1,000 orang, 1,200 jemaah, 1,100 jemaah dan 1,100 jemaah.

Tiada ulasan: