MALAYSIA DATELINE
Mujahid dikatakan akan menjadi menteri luar manakala Khalid menteri agama.
Naib Presiden Datuk Dr Mujahid Yusof dan Pengarah Komunikasi, Khalid Samad disebut-sebut bakal menjadi dua lagi menteri kabinet dari AMANAH.
Menurut laporan The Malaysian Insight, Mujahid akan dilantik sebagai Menteri Luar manakala Khalid pula Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama.
Laman ini melaporkan 26 anggota kabinet ketika berita angin sebelum ini menyatakan kabinet akan mempunyai 28 anggota. Kesahihan berita ini masih belum pasti dan dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri sendiri namun belum ada penafian rasmi lagi.
Menurut laman itu yang memetik sumber kerajaan, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian akan menjadi menteri kerja raya; naib presiden Xavier Jayakumar (air, tanah dan sumber asli), dan setiausaha agung Saifuddin Nasution (perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna).
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Abdullah bakal dinamakan sebagai menteri pendidikan tinggi.
DAP pula akan mendapat dua lagi menteri iaitu Teresa Kok dan muka baru, Yeoh Bee Yin.
Kok akan dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan manakala Yeoh, yang menang kerusi Parlimen Bakri dalam pilihan raya pertamanya, dijangka dinamakan sebagai menteri tenaga, teknologi dan alam sekitar. Yeoh adalah jurutera kimia, pemegang biasiswa Petronas yang juga lulusan sarjana dari Cambridge, lapor laman itu.
Bersatu pula akan mendapat dua menteri baru iaitu ketua sayap pemudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bakal dinamakan menteri belia dan sukan.
Ahli Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Yusof akan memegang portfolio yang dihidupkan semula, Kementerian Pembangunan Usahawan.
Parti Warisan Sabah yang menyokong PH akan mempunyai tiga wakil dalam Kabinet Dr Mahathir iaitu Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking; Ahli Parlimen Batu Sapi VK Liew dan Ahli Parlimen Silam Mohamadin Ketapi.
Darell akan jadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri; Liew sebagai menteri undang-undang manakala Mohamadin bakal menteri pelancongan.
Sementara itu, Pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy akan diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal kaum India, selepas usaha kerasnya memastikan pengundi kaum India memilih PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan