ABU FIRDAUS
Berikutan ulang tahun peristiwa 11 September 2003, satu demonstrasi diadakan di London, Britain bagi membantah keganasan peristiwa itu. Kebanyakan pesertanya terdiri daripada mereka yang dianggap sebagai golongan perkauman, rasis, atau ultra nasionalis, merujuk kepada penganut fahaman kebangsaan pelampau. Di antara penunjuk perasaan itu juga adalah dari kalangan apa yang disebut sebagai fasis baru, atau neo-fasis.
Parti golongan ini ialah Parti Nasionalis Britain (BNP), sebuah parti yang menolak kehadiran pendatang asing ke Britian. Mereka menunjukkan sikap anti orang Asia, dan khususnya juga menentang Islam. Susur galur BNP boleh sampai kepada parti fasis negara yang bersekutu dengan parti Nazi Jerman menjelang Perang Dunia Kedua.Golongan neo-fasis atau neo-Nazi mempunyai pengikut yang tidak kurang ramai di seluruh Eropah. Kalau dahulu pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua sasaran mereka ialah orang Yahudi, tetapi selepas perang itu, kebencian mereka adalah kepada pendatang dari Asia dan Afrika. Oleh kerana kebanyakannya orang islam, maka dengan sendirinya kebencian mereka beralih kepada orang Islam.
Keadaan bertambah buruk apabila berlaku 11 September 2003 yang mengukuhkan lagi kepercayaan mereka bahawa Islam adalah agama keganasan. Untuk menghapuskan keganasan, apa yang perlu dilakukan ielah menghapuskan Islam. Apa yang disebut sebagai neo-nazi, neo-fasis atau ultra-nasionalis kini dapat diungkapkan sebagai Islamofobia.
Anasir-anasir Islamofobia atau fahaman membenci Islam ini berada di banyak negara Eropah dengan mereka memiliki parti politik sah dan mempunyai pengaruh politik ke atas pilihan raya negara masing-masing serta juga proses demokrasi yang berlaku. Justeru, walaupun fahaman mereka ternyata tidak logik dan tidak bertamadun, tetapi kesan penentangan mereka pasti wujud dalam landskap politik negara masing-masing.
Maka hari ulang tahun peristiwa 11 September merupakan tarikh paling sesuai bagi golongan ini mengadakan demonstrasi untuk melemparkan perasaan benci mereka terhadap Islam. Kata-kata dan sikap mereka tidak terhad kepada soal keselamatan sedangkan itulah isu utama, tetapi merangkumi juga hal politk, dan yang memedihkan lagi ialah penghinaan terhadap Islam.
Tunjuk perasaan anti-Islam dan berbentuk Islamofobia ini dibantah oleh demonstrasi balasan oleh penyokong-penyokong orang Islam dan minoriti. Mereka bukan saja terdiri daripada orang Islam tetapi sebahagiannya adalah dari kalangan golongan kiri yang mempunyai fahaman bahawa layanan saksama wajar diberikan kepada golongan minoriti, termasuk Islam.
Kalau golongan fasis merupakan sayap kanan dalam spektrum politik di Britain, maka pihak sosialis, termasuk Parti Buruh yang memerintah dianggap sebagai sayap kiri yang secara tradisi adalah simpati pada golongan minoriti, termasuk orang Islam. Ini kerana orang Islam turut dianggap sebagai pihak yang tertindas oleh Britain sebagai penjajah.
Hakikat bahawa terdapat sebilangan orang Islam memilih jalan keganasan adalah suatu yang dikesalkan tetapi ia dapat difahami dalam konteks kebangkitan golongan yang tertindas. Banyak pihak kiri melihat kebangkitan sesuatu kumpulan itu adalah kerana penindasan politik yang mempunyai asas ekonomi.
Di Britain sendiri, perjuangan menentang penjajahan yang paling terkenal ialah kebangkitan nasionalis Ireland Utara yang akhirnya menjadi satu kumpulan pengganas, di mana pihak Parti Buruh cuba tangani secara simpati. Tetapi golongan kiri juga melihat bahawa kehadiran pendatang asing ke Britain adalah hasil daripada dasar penjajahan Britain dahulu, semasa menjadi empayar.
London telah menawan dan menjajah banyak kawasan di dunia. Empayar Britain adalah terbesar berbanding imperialis lain pada zamannya. Semasa penjajahan ini, berlakulah rampasan hak dan budaya pihak yang dijajah. Banyak kerajaan dan negara islam tumbang akibat penjajahan Inggeris, termasuklah kerajaan Uthmaniah dan Moghul. Masalah Palestin dan India menghantui kembali Britain, dan mereka inilah kemudiannya menjadi pendatang dan keturunannya merupakan warganegara minoriti di situ.
Kalau dilihat peristiwa 11 September, maka apa yang berlaku juga ada kaitan dengan penjajahan ke atas dunia Islam. Bagaimana Osama bin Laden muncul dan kaitannya dengan penjajahan Britain dan Amerika Syarikat ke atas Palestin, Afghanistan, Arab Saudi dan Iraq. Keganasan muncul kerana penjajahan. Tetapi itu tidak bererti keganasan dibolehkan. Orang Islam menentang keganasan.
Sejak peristiwa 11 September, berapa banyak orang Islam yang menjadi korban dalam perang Afghanistan dan Iraq. Peristiwa itu tidak boleh diasingkan daripada peperangan itu. Kini keganasan yang berleluasa berlaku di Iraq dan Afghanistan, yang mana majoriti mangsa adalah orang Islam.
Kebencian yang ditunjukkan golongan neo-fasis dalam tunjuk perasaan di London itu merupakan cetusan anti-Islam yang terbuku dalam hati mereka. Ia mungkin datang dari rasa tidak selamat tentang kedudukan merekadi samping pertembungan budaya antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, apa yang wajar dilakukan umat Islam adalah menambahkan kerja-kerja dakwah dan memperbaiki hubungan dengan orang bukan Islam tempatan. Sifat konfrontasi hanya menambahkan anggapan bahawa orang Islam terlalu sensitif dan cenderung untuk berbalah serta menggunakan kekerasan.
-detikdaily.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan