"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Kami ahli syurga'

Ahmad Shahrul Nizam Muhammad dan Muhd Izawan Baharin


KUALA LUMPUR: “Mengaku salah bukan bererti kalah. Pengakuan itu hanya dari sudut undang-undang kerana kami tetap yakin berada di jalan kebenaran menuju ke syurga,” dakwa bekas penyanyi kumpulan era 80-an yang menjadi pengikut taksub ajaran Abdul Kahar Ahmad atau ‘Rasul Melayu’.

Penyanyi reggae itu yang enggan namanya disiarkan berkata, pengakuan bersalah ‘Rasulnya’ bukan bermakna mereka mengalah dari sudut prinsip, malah ia membuktikan kebenaran ajaran Haji Kahar.

Menjelas lanjut mengenai alasannya, penyanyi berkenaan berkata, syarat untuk melayakkan seseorang masuk ke syurga ialah mengamalkan ajaran Haji Kahar yang menekankan lima asas utama.

“Sikap ini perlu 100 peratus ada dalam hati dan saya mengambil masa 25 tahun untuk benar-benar mencapai peratusan ini menyebabkan saya yakin akan masuk syurga seperti yang bakal dinikmati Haji Kahar.

“Ini ajaran sebenar. Jadi apabila Haji Kahar mengaku bersalah, ia membuktikan dia tidak mahu ‘berkeras’ dan menentang undang-undang, sekali gus mengekalkan lima perkara asas itu dalam dirinya,” katanya.

Menurutnya, apabila orang lain enggan menerima ajaran itu, untuk apa Haji Kahar ‘berkeras’ sedangkan sifat itu bertentangan ajarannya.

“Bila dia menunjukkan sifat cuba melawan undang-undang, maka wujud sifat negatif. Mana ada dalam ajarannya sifat negatif...jadi sebab itu lebih baik mengaku salah, tetapi ia bukan bererti kalah.

“Kalau orang tak percaya, apa boleh buat... nanti orang cakap hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong,” katanya.

Sementara itu, dalam satu pertemuan dengan wakil Harian Metro, penyanyi berusia lewat 50-an itu mendakwa, kalau semua orang mengikuti asas ajaran sesat itu, dunia akan menjadi tempat paling bahagia dan selamat tanpa perlu ada pihak berkuasa untuk memantau keadaan.

“Tidak mengapa kalau seseorang itu minum arak atau berpakaian seksi asalkan jiwanya positif selepas mencapai tahap 100 peratus asas ajaran (Haji Kahar),” katanya yang begitu taksub terhadap ‘Rasul Melayu’ yang mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Tinggi Shah Alam terhadap lima pertuduhan, kelmarin.

Penyanyi itu mendakwa, Islam yang sebenar bukan sekadar menunaikan solat lima waktu, puasa, zakat atau menunaikan haji, tetapi lebih kepada membersihkan hati dengan sikap positif.

“Saya sudah mengikuti ajaran Haji Kahar selepas membuat kajian dan yakin dia ‘Rasul’ yang diturunkan setiap satu kurun. Rasul bermakna seorang yang menyampaikan teladan baik tapi nabi ialah orang yang menerima wahyu iaitu Nabi Muhammad.

“Rasul juga diturunkan kepada setiap bangsa dan Haji Kahar untuk orang Melayu. Bila seseorang Rasul wafat mesti ada penggantinya untuk memperbetulkan ajaran. Jadi bila Nabi Muhammad wafat, mesti Tuhan turunkan pengganti,” katanya.

Beliau juga memuji Haji Kahar yang disifatkannya ‘Rasul’ di kalangan umat Melayu kerana tidak pernah diazabkan walaupun sudah secara terbuka mendakwa sebagai ‘Rasul’.

“Awak ingat senang-senang dia (Haji Kahar) hendak mengaku Rasul. Jika tak betul, Tuhan akan azab dia.

“Haji Kahar mengaku ‘Rasul’ sebab dia benar-benar mempunyai kelayakan dan saya mengikut dia dan sudah memperoleh separuh apa yang diajarnya,” katanya.

Menurutnya, Haji Kahar tidak pernah menjadi guru kepada pengikutnya, sebaliknya hanya bertindak sebagai pembimbing untuk mencapai lima perkara itu berdasarkan potongan terjemahan al-Quran.

Dia turut mempertikaikan kebenaran hadis nabi kerana mendakwa ia bukan 100 peratus betul, sebaliknya sudah bercampur aduk.

Dalam pertemuan hampir dua jam itu, penyanyi terbabit turut menunjukkan salinan beberapa surah al-Quran seperti Al-A’raf, Al-Ankabut, Al-Alaq, Ali Imran dan Az-Zumar yang ditandakan bagi menyokong lima asas ajaran Haji Kahar.

Penyanyi terbabit turut mendakwa Haji Kahar turut merantau ke seluruh dunia termasuk ke Israel untuk menguji diri sama ada dia seorang ‘Rasul’ atau tidak selepas menerima ‘petunjuk’.
-hmetro.com-

Tiada ulasan: