Ali Bukhari Amir | |
15 September (25 Ramadan) petang itu tubuh terlantar keletihan. Dalam perkiraan saya, mungkin jam 5:30 petang apabilaKetua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman menerima panggilan telefon dari Norlaila Othman, hanya di sebelah bilik, di sebuah hotel di Sandakan, ketika beliau selesai melakukan solat jamak Zuhur, Asar. Saya tak pasti apa isi butiran bualan antara mereka. Malas mahu fikir kerana keletihan baru terbit, sejak ia bersarang di tubuh sejak semalaman berpesta. Ya, sudah tentu keletihan. Tubuh dan mata menjadi berat. Tersengguk-sengguk. Malam sebelum itu, jangankan tidur ayam, makan sahur atas bas pun, sudah makan-makan ayam, sekali saja makan dan berhenti seketika, sambung makan semula dan tidak makanan tidak berhidang, adat orang bermusafir. Makan ala kadar, sekadar berlapik perut menghilangkan dahaga sepanjang perjalanan bas menjelang Subuh. Jam 4:30 pagi kami bertolak dari pejabat Harakah. Pada 5:00 pagi, berlari-lari mengambil bas terus bertolak ke LCCT. Ketika tiba di Sandakan, 11:15 pagi, aktivis Pusat Sokongan Keluarga tahanan ISA, Raj Normala Sabu memberi jadual perjalanan yang lumayan padatnya. Kami mendaftar masuk hotel untuk sementara dan terus menuju ke Batu 19, bertemu Puan Norhatta yang suaminya masih ditahan di Manila walaupun beliau telah dibebaskan daripada tahanan ISA empat bulan lalu. Lumpur coklat Di Kg Tinosa 2, antara deretan rumah yang berbaris di atas lumpur coklat, jiwa terpukul menemui wajah tenang Hapipah, isteri Zainun Rashid. Anak-anaknya pintar bergeliga, manghafaz surah-surah lazim. Lalu, perjalanan kami diteruskan langsung ke rumah Francis Indanan di Flat Taman Mesra. Selepas membeli beberapa juadah di Bazaar Ramadan, barulah dapat mendaratkan tubuh. Bila terjaga, sudah 5:48 petang. Ketika anggota wuduk masih basah dan tubuh baru mengadap ke kiblat di kamar hotel, bualan Ahmad Lutfi dengan Norlaila sudah hampir tamat. Hampir saja mengangkat takbir, tiba-tiba ... "Mat Sah Mat Satray dah bebas," kata Lutfi, ada senyuman tergaris di bibirnya. "Tadi, Laila call, suami dia dah sampai rumah, polis yang hantar." Kita dah menang! Kita dah menang! Gendang perang dah berbunyi. Menang pada tahap pertama, tapi selagi ISA masih wujud, adakah perjuangan sudah selesai? Sesekali tidak! Antara percaya dan tidak, saya turut gembira. Kalau berita pembebasan ini tiba daripada orang lain, sulit mahu percaya. Tapi, oleh kerana perkhabaran ini datang dari Ketua Pengarang, apatah lagi dia baru menerima berita perkhabaran itu dari isteri Mat Sah sendiri, maka tidak perlulah disiasat lagi sama ada ia benar atau tidak. "Tak pa syeikh, bebas, bebas juga. Nanti sambung lain, ana solat dulu," kata saya terburu-buru, memburu waktu. Sekejap sahaja lagi, Jejak Rasul akan ke udara. Dan, saya teringat peringatan Raj Normala Sabu (Sue) kepada Suhaib petang tadi tentang waktu berbuka di sini yang lebih awal. "Ingat ya Suhaib, di sini Maghrib masuk jam 6:09 petang," kata Sue. Saya mencuri dengar ingatan itu ketika mengambil barangan juadah dari keretanya. Sue dan suaminya memang berjasa besar dan budi baik mereka membawa kami ke rumah-rumah keluarga bekas tahanan ISA di sini amatlah kami hargai. Harakah dapat keistimewaan! Pagi berikutnya, sekitar jam 11:00 pagi, ketika mahu meneruskan misi kedua, saya sempat mengucapkan tahniah kepada kak Laila. Ahmad Lutfi menegur, "Macam mana semalam? Lena tidur?" Wanita jelmaan Siti Zubaidah ini cuma tersenyum, tidak terungkap rasa gembiranya barangkali. "Hai, nampak lain macam jer muka kak hari ni?" kini tiba giliran Sue menyapanya di ruang legar hotel. "Nampak berseri." "Akak rasa macam pengantin baru," katanya lagi. Memang jelas, roman wajahnya meriakkan keceriaan, ada sekawah ketenangan yang melimpah dari belahan sungai senyumnya yang merekah dengan tidak putus-putus itu. "Hari ni rasa macam lambat je nak sampai ke malam. Tak sabar nak balik." Malam nanti, pesawat AirAsia kami melompat ke langit jam 8:30 malam. Dan, celoteh Laila itulah yang paling banyak menghiasi perjalanan kami. Daripada rasa semangatnya bercerita itu, saya dapat menyelami rasa puas hatinya ketika berjuang selama tujuh tahun, sehinggalah pembebasan suaminya. Agak dramatik, melucukan dan ia pastinya rakaman bersejarah juga saat menyaksikan sendiri dengan mata kepala, bagaimana Laila bertahan bersama anaknya Suhaib. Lalu, mereka kini sedang berdepan dengan kegembiraan yang bakal menjelma. Ahmad Lutfi sempat bergurau, "Nampaklah dramatik sikit. Suami dah bebas, tapi bila dia sampai rumah, isterinya masih berjuang di luar rumah." "Ye lah, saya pun tak sangka. Saya mati-mati ingatkan dia tak akan dibebaskan. Saya cakap pada semua orang, kalau semua sudah bebas nanti, hanya ada seorang saja yang belum dibebaskan lagi. Dan orang itu ialah... eh tak mau cakaplah, takut-takut nanti malaikat aminkan pula." Laila berkata, dia tidak akan dapat melupakan jasa baik wartawan Harakah dan kesungguhan akhbar ini mempromosikan kes beliau ini sehingga ia berjaya mendapat tempat di peringkat antarabangsa. "Berita-berita yang kecil pun mereka besarkan. Dan, hari ini ketika RTM, NTV7, dan lain-lain cari saya, wakil Harakahlah yang dapat liputan khas ni ketika suami saya dibebaskan. "Encik Lutfi tau tak? Saya percaya, orang yang paling gembira dalam hal ini mestilah budak-budak Harakah," kata beliau sambil menyebut nama-nama wartawan tertentu yang telah menyokong perjuangannya selama ini. Sebenarnya bualan kami dalam kereta itu lebih banyak terganggu oleh kiriman SMS bertalu-talu daripada orang-ramai. Ada antara mereka yang saya kenal dan ingat nama mereka. Boleh dikatakan, selang 5 minit, ada saja panggilan masuk dan ada saja sms yang datang menerjah ke ruang mel peti surat telefon bimbitnya. Tapi, itulah hakikatnya. Sokongan rakyat mula melimpah-limpah dan mencurah-curah pula perhatian orang-ramai ketika kes beliau ini diperjuangkan secara istiqamah dan berterusan tanpa mengenal penat lelah. Mat Sah saman kerajaan? "Sejak semalam, ya Allah, ramai betul panggilan dan banyak betul SMS datang," kata Laila lagi. "Ada SMS daripada Afrika, luar negara dan lain-lain yang kirim ucapan tahniah. Rupa-rupanya, isu ini dah jadi isu antarabangsa. "Malahan, ada peguam yang nak tawarkan khidmat untuk saman pihak kerajaan dalam kes ini. Saya ingat nak beritahu suami supaya dia lawan kes ini di mahkamah," kata Laila panjang lebar. "Ish, itu yang Hishammuddin dan kerajaan dok marah tu," Ahmad Lutfi mengusik dari belakang, "Dah dibebaskan suami, tapi tidak ucapkan terima kasih langsung. Siap nak saman kerajaan lagi." Kami ketawa bersama dan kereta yang dipandu Sue itu terus menuju ke Kg Sim Sim yang cantik panoramanya. Di bawah rumah atas air itu berjenis-jenis pula ikan laut yang cantik, berenang dalam berkumpulan. Hidup mereka tenang dan damai di sini, tiada keluh kesah langsung dengan akta-akta drakonian seperti ISA, Auku, Akta Mesin Cetak dan lain-lainnya. Apakah Laila dan suaminya akan nekad bertindak menyaman kerajaan setelah Mat Sah berhasil mendapat pembebasannya? Apakah pula sikap Laila setelah suaminya bebas? Adakah dia akan meneruskan garis-garis kehidupannya seperti biasa? Menjadi guru, seorang suri rumah sepenuh masa dan terus meninggalkan pekerjaan yang selama ini ditempuhinya selama hampir lapan tahun suaminya terpenjara? Ikuti sambungan episod kisah perjuangan ini dalam babak-babak kehidupan seterusnya ... 5:52 pagi, 27 Ramadan |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Kembara akhir Ramadan menyantuni keluarga bekas tahanan ISA Sandakan / UBN Najib Altantuya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan