"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ziarahi kubur amalan positif di pagi Syawal

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Amalan menziarahi kubur di pagi Aidilfitri merupakan satu amalan yang positif, namun boleh bertukar kepada bida'ah jika ia dijadikan kewajiban kepada seseorang untuk melakukannya.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan, berkata amalan menziarahi kubur itu bagi mengingatkan manusia kepada kematian, namun terdapat sebahagian ulama yang meletakkan amalan tersebut sebagai bida'ah apabila mereka mewajibkan diri mereka untuk melakukannya.

"Melainkan jika seseorang itu pulang ke kampung dan mengambil peluang menziarahi kubur orang tuanya, maka ia bukanlah satu bida'ah," jelas beliau.

Tambah Ustaz Nasruddin lagi, sudah menjadi kelaziman bagi orang ramai untuk mengenang ketiadaan orang yang disayangi pada pagi raya, dan kemudiannya melanjutkan ingatan tersebut ke tanah perkuburan dengan menziarahi pusara.

Jelas beliau, amalan tersebut bukanlah satu kesalahan memandangkan ia mengingatkan kita semua kepada kematian, selain menjadikan Syawal itu bukanlah waktu bergembira tanpa batasan.

Ustaz Nasruddin turut mengingatkan amalan di hari Aidilfitri lebih baik dan penting dengan membanyakkan takbir, tasbih dan tahmid kerana ia merupakan hari kemenangan melawan nafsu di bulan Ramadan.

Tiada ulasan: