"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagan Pinang: Masa Untuk Membetulkan Yang Tidak Betul / UBN Najib Altantuya

ZUKRI AKSAH

NEGARA sekali lagi bakal menghadapi pilihan raya, kali ini pilihan raya kecil di DUN Bagan Pinang dalam Parlimen Teluk Kemang,Negeri Sembilan. Pilihan raya kecil ini akan diadakan berikutan kematian Adunnya, Azman Mohd Nor yang mewakili Umno dan BN.Dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun menetapkan tarikhnya iaitu pada 11 Oktober dengan penamaan calon pada 3 Oktober.

Dalam siri pilihan raya-pilihan raya kecil pasca Pilihan raya Umum Ke-12 sebelum ini kita telah menyaksikan kesemuanya, (kecuali Batang Ai di Sarawak) dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Maksudnya kesemua pilihan raya kecil terdahulu di Semenanjung Malaysia tidak memihak kepada BN.

Tetapi satu kebetulan pula, pilihan raya-pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia sebelum ini adalah untuk kerusi-kerusi yang sememangnya sudah dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Jadi, Pilihan raya Kecil Bagan Pinang menjadi sangat penting untuk BN. Ia bakal menjadi petunjuk sama ada pola sokongan rakyat sudah berubah atau tetap kekal sepertimana Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu.

Pengundi di Bagan Pinang akan menjadi sampel responden yang menyampaikan signal apakah rakyat bersetuju untuk BN terus memerintah walaupun tanpa majoriti dua pertiga, ataupun rakyat mahukan sebaliknya, iaitu satu perubahan yang lebih drastik.

Umno tidak harus merasa sedap hati semata-mata kerana kenyataan Lim Guan Eng bahawa peluang untuk Pakatan Rakyat menang di Bagan Pinang hanya 40% disebabkan begitu ramai pengundi pos di situ.

Umno juga tidak harus merasa sedap hati semata-mata kerana Bagan Pinang adalah kubu kuat Umno.

Kalau Pas boleh dikejutkan dengan majoriti kecil 65 undi dalam Pilihan raya Kecil Manek Urai di negeri lubuk Pas, Kelantan, apakah kemungkinan yang serupa tidak boleh berlaku terhadap Umno?

Lebih jauh dari itu, kalau Selangor yang begitu gah dengan kekuasaan Umno dan Pulau Pinang yang begitu gah dengan kekuasaan Gerakan boleh tumbang dalam Pilihan raya Umum Ke-12 yang lepas, Umno di Bagan Pinang sepatutnya bersedia untuk berhadapan dengan senario terburuk.

Dalam era politik yang betul-betul baru ini, jumlah pengundi pos yang begitu ramai di Bagan Pinang, hampir mencecah 50% tidak boleh lagi dianggap sebagai satu kelebihan buat Umno.

Bila disebut DUN Bagan Pinang ini letaknya dalam Parlimen Teluk Kemang, saya tiba-tiba teringatkan Pilihan raya Kecil Parlimen Teluk Kemang selepas Pilihan raya Umum Ke-10 pada tahun 1999.

Walaupun dalam pilihan raya tersebut BN tetap menang, tetapi saya kira pertama kali berlaku dalam sejarah, parti pembangkang, Parti Keadilan Nasional (PKN) ketika itu berjaya menang di unit peti undi pos.

Maksudnya, pengundi pos - dalam konteks Bagan Pinang dan Teluk Kemang adalah anggota tentera - bersedia untuk tidak mengundi BN bila wujudnya isu yang berjaya mencabar kewajaran dan kewarasan pemikiran mereka.

Kalau Umno mahu terus menganggap bahawa undi pos adalah status quo mereka, dan mahu terus menang dengan status quo ini, maka Pilihan raya Kecil Parlimen Teluk Kemang selepas Pilihan raya Umum Ke-10 1999 mesti menjadi kajian kes khusus.

Sekumpulan pengkaji harus dilantik untuk menelitinya sebelum berlangsung Pilihan raya Kecil Bagan Pinang nanti. Persoalan yang mesti dirungkai adalah mengapa BN kalah undi pos dalam Pilihan raya Kecil Teluk Kemang itu?

Apakah isunya? Adakah kemungkinan untuk isu tersebut wujud kembali dalam Pilihan raya Kecil Bagan Pinang yang bakal berlangsung? Jika wujud kemungkinan itu, apakah bentuk persediaan-persediaan yang perlu dilakukan bagi menanganinya?

Selain itu, semua pihak harus belajar daripada apa yang berlaku di Permatang Pasir baru-baru ini iaitu isu pemilihan calon.

Seperti kata Ali Rustam, pemilihannya mestilah tepat. Setelah berderet pilihan raya kecil sebelum ini, saya yakin untuk mengatakan bahawa Umno mesti mengubah kaedah pemilihan calonnya.

Sesuatu yang harus diingat Umno, dalam konteks politik Malaysia, isu sahsiah seseorang calon bukan lagi boleh dikategori sebagai isu peribadi, dan mengungkitnya dianggap sebagai pembunuhan karektor. Saya juga turut merasakan sudah sampai masanya Umno merombak kaedah kempen mereka. Umno tidak lagi boleh berkempen cara syok sendiri. Khemah lebih gah daripada orang yang berada di bawah khemah. Di mana-mana sudut ada bilik operasi tetapi sepi.

Jangan kerana Umno juara bertahan di Bagan Pinang, lalu kempennya pun menjadi kempen bertahan dan tidak agresif. Umno mesti kembali menganggap dirinya seperti sebuah produk baru yang sedang berusaha menawan pasaran, maka kempennya harus menyeluruh. Maaf cakap, Umno harus berubah menjadi seperti Pakatan Rakyat dalam kempennya, menggunakan semua sumber bagi tujuan kempen - dari ceramah umum ke ceramah kelompok, kempen rumah ke rumah, penyebaran risalah dan maklumat, serta yang tidak boleh ditinggalkan dewasa ini, penggunaan media baru, tepatnya internet dan blog.

Dan tolong pastikan pula rakyat, khususnya pengundi Bagan Pinang punya capaian terhadap media baru ini, serta maklum akan kewujudan kempen Umno di dalamnya, supaya akhirnya maklumat yang disebarkan itu sampai.

Sekali lagi Umno jangan hanya berblog, berfacebook dan bertwitter cara syok sendiri.

Dalam penganjuran ceramah umum, Umno tidak perlu takut dengan kekurangan khalayak pada ceramah pertama. Teruskan untuk malam-malam seterusnya di tempat yang sama, wujudkan keghairahan. Anak muda terutamanya, suka kepada sesuatu yang terkini dan bermaklumat.

Saya bimbang, keengganan Umno untuk berubah dalam pendekatan kajian dan pembangunan, pemilihan calon serta kempen pilihan rayanya boleh mencipta reaksi balas yang menakutkan dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang ini, terutamanya buat bakal pemimpin yang akan diamanahkan untuk menerajui jentera Umno dan BN dalam Pilihan raya Umum Ke-13 nanti.

Sanggupkah mereka berhadapan dengan permulaan bersama kemungkinan yang mereka boleh hilang kekuasaan dalam kerajaan persekutuan?

ZUKRI AKSAH melihat trend mengundi rakyat Malaysia sudah berubah. layak atau tidak layak seseorang calon dari segi moral kini menjadi pertimbangan utama mereka dalam memilih pemimpin.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan: