Abdul Aziz Mustafa | |
KUALA LUMPUR, 24 Sept: Pihak polis sepatutnya menangkap anggota kabinet yang terlibat memberikan kelulusan yang membawa kepada peningkatan kos Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. "Kenyataan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebelum ini bahawa dalam kes PKFZ, apa-apa yang boleh dimaklumkan akan dimaklumkan, tetapi (ia) bukan alasan untuk mendedahkan Kertas Kabinet membuktikan bahawa kertas kabinet yang didedahkan oleh Malaysia Today itu adalah dokumen tulen.Beliau kesal dengan tindakan polis membazirkan wang rakyat dengan membuang masa hendak memburu mereka yang terlibat membocorkan kertas kabinet mengenai perkara itu. "Lebih dari itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat sendiri dipetik oleh akhbar Kwong Wah Yit Poh bahawa beliau tahu mengenai kebocoran tersebut sebelum menjadi menteri lagi. "Polis jangan buang duit rakyat dengan menghabiskan masa untuk menyiasat siapa yang membocorkan kertas itu," kata Mahfuz. Kesalahan kabinet meluluskan peningkatan kos PKFZ seperti yang dicatatkan oleh kertas tersebut adalah lebih besar dari dari kesalahan membocorkan kertas kabinet di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), katanya. Ahli Parlimen Pokok Sena itu bimbang sikap kerajaan dan polis membesar-besarkan isu kebocoran itu akan berakhir dengan dakwaan bahawa kertas yang disiarkan oleh Malaysia Today itu adalah dokumen palsu dan bukan kertas kabinet. "Jika polis mendakwa kertas tersebut bukan kertas kabinet, akhirnya tidak ada siapa yang ditangkap kerana melakukan kesalahan meluluskan kos peningkatan PKFZ yang dibuat dalam bentuk syubhat dan bertentangan dengan peraturan kewangan kerajaan itu," katanya. Beliau juga bimbang keghairahan polis membesar-besarkan isu kebocoran kertas kabinet itu bertujuan mengalihkan siasatan ke atas perkara yang sepatutnya disiasat, antaranya untuk menyiasat adakah benar Menteri Pengangkutan memberikan surat jaminan bagi beberapa penerbitan bon. "Adakah polis akan menyiasat adakah benar perkara itu berlaku kerana jika ia berlaku, jaminan Menteri Pengangkutan itu boleh dianggap tidak sah kerana jaminan kerajaan hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan atas persetujuan jemaah menteri. Itu peraturan kewangan kerajaan," katanya. Beliau juga menuntut polis menyiasat benarkah Menteri Pengangkutan telah mendapat kelulusan dasar Perdana Menteri untuk melaksanakan keseluruhan projek tersebut tanpa merujuk kepada agensi pusat sedangkan, setelah dilaksanakan projek tersebut didapati tidak berdaya maju dan kos projek pula telah meningkat kepada RM4,632,732,000.00 sedangkan anggaran kos asal hanya RM1.088 bilion sahaja. "Polis juga sepatutnya menyiasat adakah pertambahan skop kerja yang melebihi RM100 juta dari kos asal sebanyak sebanyak RM1.088 bilion itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan atau tidak," katanya lagi. Mahfuz melihat tumpuan polis untuk menyiasat kebocoran kertas kabinet itu semakin menguatkan jangkaan umum bahawa tidak ada siapa pun akan dihukum berikutan skandal PKFZ itu. Semalam, perkembangan lebih mencurigakan berlaku apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menafikan laporan berita Bernama yang memetik beliau sebagai berkata bahawa ada menteri akan dipanggil bagi membantu siasatan kes penyiaran dan penyebaran kertas kabinet mengenai skandal PKFZ itu. Bukit Aman dalam satu kenyataan di sini menjelaskan bahawa Musa tidak pernah menyatakan bahawa menteri akan dipanggil bagi tujuan itu ketika menghadiri satu majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pagi ini. "Apa yang beliau (Musa) katakan adalah saksi atau individu akan dipanggil bagi membantu siasatan dan kenyataan mereka diambil," kata Penolong Pengarah Pengurusan bagi Hal Ehwal Awam ACP Lai Yong Heng dalam kenyataan itu. Polis dijangka mengesan mereka yang dipercayai terlibat dalam kes penyiaran dan penyebaran Kertas Kabinet itu yang melibatkan isu PKFZ. Penyiaran Kertas Kabinet itu di sebuah laman web, yang berkaitan projek PKFZ bernilai RM12.5 bilion telah mengundang kemarahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengecam tindakan itu, kerana dokumen berkenaan membabitkan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Kertas Kabinet 18 muka surat itu didakwa sebagai memorandum daripada Kementerian Kewangan pada Jun 2007, untuk mendapatkan persetujuan kabinet bagi memikirkan semula untuk meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM4.6 bilion bagi membiayai projek PKFZ. Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik Lembaga Pelabuhyan Kelang (LPK) bagi menyiasat skandal PKFZ, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan. |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
PKFZ:Tangkap anggota kabinet yang lulus kos tambahan tidak wajar PKFZ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan