"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sijil Lahir Untuk PTI, Apa Agenda BN? / UBN Najib Altantuya

MUTALIB M.D

MODUS Operandi pengeluaran kad pengenalan biru kepada warga asing telah terbongkar berikutan penahanan lebih 15 Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara sekitar 1995

kononnya melalui kaedah Sijil Akuan sebagaimana yang tercatat di belakang Kad Pengenalan biru mereka.

Namun, pendedahan yang dibuat oleh seorang Pegawai JPN yang juga mantan tahanan ISA, Yakub Damsah dan Setiausaha Task Force UMNO Sabah, Jabarkhan Napi @ Yasser Arafat, mereka tidak menggunakan sebarang surat akuan atau apa-apa dokumen ketika ‘diarah’ memproses kad pengenalan berkenaan, sebagaimana yang didedahkan di dalam buku ‘007-Lelaki Malaysia Terakhir’.

Pendedahan Datuk Kong Hong Ming baru-baru ini berhubung ‘Operasi Terbaru’ di Kampung Kalabakan Tengah, Tawau bagaikan mencurah minyak ke dalam api kerana ramai pihak melenting termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, ahli politik UMNO, parti komponen dan sebagainya.

Mereka mendakwa Kong hanya mencari publisiti murahan dan meminta Kong mengemukakan bukti jika dakwaannya benar, bagaikan kes liwat Mohd Shaiful Bukhari yang diminta tunjukkan bukti yang hanya diketahui oleh pelakunya sahaja kerana pemeriksaan doktor tidak menemui sebarang kesan yang boleh disabitkan dengan perbuatan meliwat.

Sehubungan itu, pendedahan terbaru yang dibuat oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan begitu mengejutkan kerana ‘Warga Asing’ bukan sahaja diberikan Kad Pengenalan melalui ‘Ops Gembleng’ pada 1991-1993, malah diberikan Sijil Lahir daftar lewat seolah-olah mereka dilahirkan di Sabah bagi ‘menutup’ dakwaan pemberian kad pengenalan biru kepada PTI melalui Sijil Akuan yang dipalsukan.

“Apa agenda BN mengeluarkan Sijil Lahir Daftar Lewat kepada warga India dan Pakistan ini? Ianya bukan sahaja pencabulan terhadap kedaulatan Sabah malah membakar Perlembagaan Persekutuan apabila warga asing sewenang-wenangnya diberikan Sijil Lahir Sabah sekalipun mereka lahir di India atau Pakistan?,” tanya Jeffrey yang teramat kesal kerana menerima salinan sah Sijil Lahir setelah disemak silang dengan JPN Sabah.

Salinan berwarna Sijil Lahir tersebut yang diterima melalui pos, kata Jeffrey adalah milik seorang warga Pakistan yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Sherdali Mohd Ali, nombor kad pengenalan 540128-12-5011 kerana terlibat dengan Sindiket Kad Pengenalan Projek.

“Sherdali telah dikeluarkan Sijil Kelahiran Daftar Lewat pada 21 Januari 1991 ketika berusia 37 tahun yang menyatakan beliau dilahirkan di Kampung Bengkongan, Kota Marudu sedangkan pada dasarnya beliau lahir di Pakistan,” kata Jeffrey yang mahukan penjelasan JPN berhubung penemuan terbaru beliau.

Tambah Jeffrey, beliau turut mendesak JPN menyiasat siapa Sukor Amponi yang memaklumkan pendaftaran lewat kelahiran Sherdali kerana ketika laporan dibuat Sherdali telah berusia 37 tahun dan bukannya 37 hari dan tidak terdapat sebarang maklumat Sukor pada Sijil Lahir Daftar Lewat berkenaan.

“Data ibunya, Sherifah Abdullah dan bapanya, Mohd Ali Ibrahim langsung tidak dinyatakan dalam Sijil Lahir Daftar Lewat yang bernombor siri 242213 bagi daftar kelahiran KM 518/91 yang dikeluarkan di JPN Kota Marudu,” tegas Jeffry yang mendesak JPN Sabah dirombak sebelum terlambat terutama bahagian Sijil Kelahiran.

Dalam pada itu, Aktivis Masyarakat, Dr Chong Eng Leong yang turut hadir di sidang media tersebut meminta penjelasan Menteri Dalam Negeri bagaimana Sijil Lahir Daftar Lewat boleh dikeluarkan kepada warga asing yang selama ini menjadi rungutan dan kebimbangan kepada rakyat Sabah.

“Kita bimbang jika semua warga asing yang mendapat kad pengenalan melalui pintu belakang turut diberikan Sijil Lahir Daftar Lewat sehingga mereka boleh membeli tanah adat atau NT di Sabah kerana mereka berbangsa ‘Melayu’ atau peranakan ‘Dusun’, sedangkan mereka langsung tidak layak tinggal di Sabah jika menurut Perlembagaan Malaysia,” tegas Dr Chong yang meminta siasatan segera dijalankan.

Dr Chong yang telah membantu seorang warganegara Malaysia, Yong Lee Hua @ Piang Lin yang diberi taraf Penduduk Tetap (PR) atau Kad Pengenalan Merah memfailkan saman pada 4 November 2008 di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menamakan Pengarah JPN Sabah dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kedua.

“Jika rakyat Sabah dilayan seperti makhluk asing kerana dipersulitkan, saya tidak faham kenapa JPN dan KDN begitu prihatin memberikan Sijil Lahir Daftar Lewat dan Mykad kepada warga Asing yang layak dipanggil Pendatang Haram, terutama daripada India dan Pakistan. Apakah kerana mereka mempunyai wang atau ada agenda yang Menteri Dalam Negeri sahaja yang tahu?,” ujar Dr Chong yang kecewa dengan tahap keselamatan dokumen rasmi negara terutama JPN dan Imigresen.

Menurut Dr Chong, Sijil Lahir adalah salah satu daripada Dokumen Rasmi Negara selain daripada kad Pengenalan yang diterima pakai secara meluas di bawah Akta Keterangan 1950 dan kawalan seketatnya harus dilaksanakan agar tidak jatuh kepada warga asing yang ditulenkan sebagai warganegara secara tidak sah.

“Tiba masanya Kerajaan Malaysia memberhentikan pengeluaran Sijil Lahir Daftar Lewat kepada warga yang diragui terutama mereka yang mempunyai kad pengenalan lama yang nombornya dikhaskan untuk pendatang asing yang diberi kad pengenalan biru (mykad) melalui beberapa operasi khas merekrut lebih 700,000 warga asing sebagai pemilih berdaftar sejak 1974 hingga 1994,” kata Dr Chong yang tidak menolak kemungkinan pengeluaran Sijil Lahir Daftar Lewat ini untuk menutup jenayah yang mereka lakukan selama ini dengan jenayah yang lebih besar.

Siasatan Sabahkini.net mendapati Sherdali, seorang saudagar permaidani merupakan salah seorang daripada 25 orang awam yang telah ditahan di bawah Seksyen 8, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 pada 17 September 1995, kerana terlibat dengan Skandal Kad Pengenalan Projek sehingga mengancam Keselamatan Negara iaitu selepas setahun Kerajaan BN memerintah Sabah.

Pasport Malaysia Sherdali masih ditahan Jabatan Imigresen Sabah ketika beliau cuba menukar pasportnya yang rosak pada 22 Mac 2000 kerana maklumat kad pengenalannya diragui sekalipun memiliki Sijil Lahir Daftar Lewat.

Mengikut siasatan Sabahkini.net, semasa di dalam tahanan ISA, Sherdali mengaku lahir di Pakistan mendapat kad pengenalan biru H0381833 iaitu termasuk dalam kategori 2,807 kad pengenalan yang nombor siri H0380001 sehingga H0383999 sekitar 1991 yang dikhaskan untuk warga asing; sebelum dikeluarkan ‘KPT Bungaraya’ pada 28 Januari 1994 untuk membolehkannya mengundi pada pilihanraya umum 19 Februari 1994.

Ketika dalam tahanan ISA, Sherdali mendakwa telah disiksa sehingga cedera parah, namun dinafikan haknya untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun kerakyatannya tidak ditarik balik sekalipun Pasport Malaysianya masih ‘disita’ Jabatan Imigresen Sabah.

Walau mendapat layanan buruk, masih tidak diketahui kenapa Sherdali tetap turun membuang undi kerana beliau adalah pemilih berdaftar bagi Kurol Melangi, Dun Karambunai dan Parlimen Sepanggar, Sabah. Apakah kerana bimbang Mykadnya ditarik balik seperti Mohd Jani Majid?

-tkodaily.net-

Tiada ulasan: