Haris Zalkapli | |
ANALISIS Konflik di Yaman yang menyaksikan pertempuran terbaharu kerajaan negara Arab itu dengan kumpulan pemberontak di utara kelihatan tidak mudah untuk diselesaikan dalam masa terdekat ini, apabila kerajaan Yaman pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dan pemberontak Houthi pimpinan Abdul Malik al-Houthi gagal mencapai persetujuan untuk berdamai. Kerajaan Ali Abdullah menolak syarat perdamaian kumpulan Houthi yang mahukan kuasa yang lebih di wilayah mereka, mendorong kumpulan Houthi mengeluarkan amaran 'perang yang berpanjangan' akibat penolakan peluang perdamaian itu. Ali Abdullah kini berdepan usaha sukar menangani konflik dalaman dan mengimbangi hubungan baik dengan AS dan menjaga hubungan dengan Arab Saudi dan pada masa sama mengawal usaha Saudi untuk mendominasi. Tiga kumpulan sekaligus terlibat dalam konflik dengan kerajaan Yaman, konflik yang semakin meningkat dan menarik perhatian dunia sejak beberapa bulan lalu. Di sebelah selatan, pemberontak pemisah menjadikan suasana tegang, memperlihatkan sentimen anti-penyatuan lama selepas Yaman Utara dan Selatan bersatu. Pada masa sama, Yaman yang menjadi sekutu Amerika Syarikat dalam 'perang menentang terorisme' juga mengawasi pengaruh al-Qaeda yang dilihat mengambil kesempatan daripada kekacauan untuk menjadikan negara bersempadan Laut Merah dan Teluk Aden itu sebagai pusat aktiviti mereka. Konflik paling hebat melibatkan kerajaan Ali Abdullah dengan kumpulan Syiah Zaidiyah di utara, menyaksikan pertempuran yang meningkat ketika Muslim seluruh dunia menyambut kehadiran bulan mulia Ramadhan. Pertempuran ini ialah yang keenam dan terbaharu sejak kempen terhadap Houthi bermula pada 2004. Menurut laporan media Yaman, sekitar 5,000 orang telah terkorban dan 200,000 menjadi pelarian akibat konflik kerajaan Yaman dengan pemberontak Houthi yang kubu kuatnya terletak di Saada, utara negara itu. Konflik melibatkan kumpulan Syiah Zaidiyah mempunyai sejarah yang panjang dan dimensi dalaman dan serantau. Kumpulan Syiah Zaidiyah menyimpan rasa kesal sejak kejatuhan kepimpinan panjang mereka di Yaman pada 1962, kejatuhan yang menjadikan mereka terpinggir. Dua kuasa serantau, Arab Saudi dan Iran dinilai pemerhati terlibat dalam konflik ini dan menjadikan kedua-dua pihak bertentangan sebagai proksi untuk mengukuhkan pengaruh mereka. Hal ini tidak mengejutkan memandangkan persaingan berzaman kedua-dua negara yang berpegang pada beraliran Islam yang bertentangan. Kedua-dua negara telah menunjukkan keprihatinan mereka terhadap situasi Yaman sejak konflik terbaharu tercetus. Saudi telah menunjukkan rasa kurang senang dengan laporan media Iran dan menuduh Iran membantu kumpulan Syiah Zaidiyah, manakala Iran menuduh Arab Saudi membantu tentera Yaman. Arab Saudi didakwa memberi sokongan kepada beberapa kumpulan di Yaman untuk meluaskan dan mengukuhkan pengaruhnya yang mula tertanam sejak memberi bantuan kepada kerajaan Yaman menghadapi perang saudara dengan kumpulan selatan pada 1994. Iran pula dipercayai memberi sokongan kepada kumpulan Syiah Zaidiyah di utara walaupun mereka daripada aliran Syiah yang berbeza. Sokongan ini mampu memberikannya pengaruh di kawasan-kawasan penting di rantau Asia Barat dan pada masa sama mempunyai proksi untuk mengimbangi pengaruh Arab Saudi, seperti dilakukan di wilayah timur Arab Saudi. Yaman dalam hal ini tidak mendapat banyak manfaat, malah konflik dihadapi ini, menurut pemerhati, hampir menjerumuskannya menjadi sebuah negara yang gagal seperti Somalia, negara jirannya di seberang Teluk Aden. Yaman sedang menyaksikan sumber hidro karbon semulajadinya semakin berkurangan dan pada masa sama juga berdepan risiko kekurangan sumber air. Konflik bersenjata hanya akan menjadikan keadaan lebih parah. Arab Saudi berkepentingan untuk melihat kumpulan Houthi tidak berpengaruh, antaranya disebabkan kedudukannya bersempadan dengan wilayah Najran di sempadan Arab Saudi-Yaman. Najran dan sebuah lagi wilayah, Asir, ditakluk Arab Saudi ekoran konflik kedua-dua negara yang berakhir pada 1934. Najran yang mempunyai jumlah penduduk Syiah Ismailiyah yang agak besar pernah menyaksikan konflik minoriti Syiah dengan pasukan keselamatan Arab Saudi. Dasar Arab Saudi terhadap Yaman dilihat memberi kesan kepada pengikut Syiah terbabit, yang berkongsi sentimen dengan penduduk Syiah Zaidiyah di Yaman. Kumpulan-kumpulan Syiah berbeza aliran terbabit berkongsi sentimen yang hampir sama terhadap Arab Saudi, yang mempunyai rekod buruk berhubung minoriti Syiah di negara itu, terutama golongan majoriti kalangan mereka, Ismailiyah. Walaupun sokongan Iran lebih kuat dilihat di wilayah timur Arab Saudi, Syiah Zaidiyah Yaman juga dikatakan mula lebih rapat dengan Tehran ekoran tekanan yang dikenakan, termasuk pengaruh Saudi yang semakin kuat di Yaman. Kumpulan Syiah Yaman dikatakan telah membina hubungan baik dengan Tehran dan juga Hizbullah di Lubnan dalam usaha berdepan tekanan. Sentimen kebangkitan Syiah seluruh Asia Barat kebelakangan ini mampu menyumbang kepada kerjasama itu. Yaman mempunyai hubungan sukar dengan jirannya di utara itu. Menjelang Perang Teluk pertama pada awal 1990-an, Yaman dihukum keras Saudi dan sekutu Baratnya kerana tidak menyokong agenda menyerang Iraq. Sempadan Arab Saudi dengan Yaman pula sentiasa tegang, dengan beberapa pertempuran kecil pernah berlaku melibatkan kedua-dua negara. Prospek untuk konflik lebih besar berlaku sentiasa wujud, dan ini membuka peluang kepada Iran untuk membina pengaruh, mendedahkan rantau Asia Barat dan dunia Muslim kepada satu lagi kemungkinan konflik berdarah yang berpanjangan. |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
UBN Najib Altantuya: Pada bulan Ramadhan, umat saksikan konflik terbaharu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan