"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Lepas 31 Ogos kini 16 September

Roslan SMS
Kawan saya Lim Hong Siang menyiarkan artikel bertajuk “Rampasan kuasa di Selangor: Perancangan 16 Sept berulang” tulisan Wong Shu Qi dan disunting oleh beliau dalam laman web Merdekareview yang mana beliau adalah editornya. (Sebelum ini ada pihak dalam BN menyebut 31 Ogos).

Artikel ini yang boleh dibaca di
http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=10309
memperkenalkan kononnya formula lompat parti 3-2-3 yang dijadualkan berlaku dalam tempoh terdekat yang bakal merebahkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebagimana rebahnya kerajaan Perak iaitu melalui “politik pintu belakang”. 3-2-3 yang dimaksudkan adalah bakalnyal berlaku lompatan ADUN-ADUN dari Pakatan Rakyat iaitu 3 dari PKR 2 dari DAP dan 3 dari PAS.

Malangnya analisa Wong itu tidak pula menghuraikan bagaimana perancangan ini bakal berlaku dan dilaksanakan dan apakah faktor pendorongnya. Ia sekadar menembak curi dan lebih bermain dengan lagu-lagu nyanyian Umno dan BN di Selangor tiada asas dan hujah serta bukti yang kukuh.

Antara nama-nama yang disebut bakal melompat termasuklah kononnya Dato Dr Hasan Ali (PAS), Amiruddin Shaari (PKR) dan Badrul Hisham (PKR). Siapa dua lagi dari PAS? Siapa satu lagi dari PKR dan siapa dua dari DAP itu?

Analisa beliau menggunakan pula hujah dari dua pimpinan DAP Selangor iaitu Teresa Kok dan Teng Chang Khim yang kononnya menyebut bilangan yang bakal lompat dan kemungkinan siapa yang bakal lompat. Kenapa Teresa dan Teng dikecualikan? Kenapa mereka pun tidak disenaraikan sebagai punya potensi melompat dari 13 ADUN DAP?

Bagi saya analisa ini sangat meleset dan murahan dan malah tidak layak duduk di Merdekareview yang biasanya terbit memaparkan tulisan yang kritikal dan bekualiti.

Saya sendiri semalam ditanya oleh seorang pemberita akhbar Cina tentang khabar angin ini. Bagaimana dengan ADUN-ADUN PAS tanya beliau? Saya nyatakan kesemua lapan ADUN PAS Selangor sedang sibuk bekerja di bulan Ramadhan ini, padat dengan program yang disusun parti selain aturcara masing-masing sebagai EXCO dan ADUN. Mereka tidak lari dan tidak menyembunyikan diri (satutindakan biasa bagi ADUN yang mahu lompat). Saya nyatakan bahawa saya sungguh yakin insyallah tidak ada seorang pun ADUN PAS yang tergamak untuk melompat apalagi menyumbang kea rah kejatuhan kerajaan ini.

PAS mungkin ada berbeza pandangan dalam hal-hal tertentu dalam mentadbir Selangor, tetapi semuanya ditangani melalui musyawarah. Pimpinan PAS Selangor sentiasa rapat dengan pimpinan PAS disemua peringkat, tidak terasing atau berjalan sendiri-sendiri. Diperingkat Selangor forum politik tertinggi iaitu Majlis Pakatan Rakyat berjalan lancar, menemukan 6 pimpinan tertinggi masing-masing parti setiap dua minggu sekali secara konsisten dan insyallah esok adalah mesyuarat seterusnya.

Ringkasnya bagi PAS, perjuangan lebih 50 tahun di bumi politik Selangor yang sungguh gersang ini kini membuahkan hasil dengan menjadi sebahagian dari kerajaan yang memerintah bumi bertuah ini. Doa, pengorbanan dan airmata yang ditumpahkan oleh para pejuang yang awal insyallah tidak akan dipersia-siakan apalagi mandat yang diberikan rakyat pada PRU12 lalu.

Hubungan PAS dengan PKR dan DAP berjalan baik. Tidak dapat dinafikan terdapat perbezaan disana-sini tetapi ia semakin mesra dan masing-masing mula faham-memahami dan hormat-menghormati. Yang pentingnya negeri ini perlu ditadbir secara yang terbaik, biar lebih baik dari mereka yang sebelumnya.

Kesimpulannya saya percaya kerajaan negeri ini akan mampu bertahan sehingga tamat penggalnya. Jika ada pun yang mahu melompat, ia tindakan orang yang kecewa dan menggadaikan amanah rakyat. PAS insyallah akan kekal 8 walau apa berlaku. Sejarah daya tahan dan kekuatan dalaman wakil-wakilrakyat PAS telah lama terbukti. Kali terakhir wakil rakyat PAS meninggalkan parti adalah lebih 30 tahun lalu apabila berlaku krisis politik Kelantan sehingga lahirnya Berjasa dan Hamim.

Tuduhan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor oleh Wong sangat jahat, lebih-lebih lagi tiada ruang diberikan untuk Dato Hasan membela diri atau sekurang-kurangnya pimpinan kanan PAS Selangor diminta pandangan. Biarlah Umno dan BN Selangor bersedap-sedap menunggu 16 September bersama Wong, kami dari PAS Selangor dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ada banyak tugas dan kerja yang perlu dilaku dan dibereskan.

Saya menunggu reaksi Wong 17 September nanti.

Tiada ulasan: