"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Menteri Tidak Wajar Bela Ekstrimis

Pakatan Rakyat memfailkan satu laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein ekoran campurtangan beliau dalam siasatan polis.

Laporan polis ini dibuat berikutan tindakan Hishamuddin Hussein memintas siasatan polis dengan mengadakan pertemuan dengan penganjur tunjuk perasaan 'kepala lembu' di Shah Alam minggu lalu.

Exco Selangor Xavier Jeyakumar, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor Khairul Anuar Ahmad Zainuddin membuat aduan tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, jam 12.30 tengahari tadi.

Pakatan Rakyat berkata campurtangan ini adalah penyalahgunaan kuasa yang besar dan boleh mempengaruhi siasatan polis keatas isu ini, lebih-lebih lagi apabila Hishamuddin membuat pendirian tanpa menunggu hasil siasatan polis.

"Satu siasatan bebas perlu diwujudkan segera bagi menyiasat tindakan Menteri Dalam Negeri mencampuri siasatan polis berhubung tindakan tunjuk perasaan kepala lembu tempoh hari. Jelas sekali ini adalah penyalahgunaan kuasa," kata Xavier di perkarangan IPD Petaling Jaya.

“Saya minta Peguam Negara jangan menghentikan apa-apa tindakan yang telah dibuat terhadap kumpulan ini kerana kenyataan yang dibuat oleh Hishamuddin. Saya di beritahu oleh Ketua Polis Shah Alam semalam bahawa mereka menunggu laporan daripada pejabat Peguam Negara kerana kertas siasatan telah dihantar,” katanya.

Dalam kejadian 28 Ogos lalu, segerombolan individu mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sambil mengheret kepala seekor lembu, menendang dan meludah kepala itu sebagai bantahan kepada pemindahan sebuah kuil lama dari Seksyen 19 Shah Alam ke Seksyen 20 Shah Alam.

Tunjuk perasaan itu dikecam pelbagai pihak sebagai menghasut kepada perbalahan agama dan bersifat provokasi. Ketika polis mengadakan siasatan, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein bertindak mempertahankan provokatur-provokatur terbabit.

Hishamuddin mengadakan pertemuan dengan provokatur terbabit, dan dalam satu kenyataan selepas pertemuan tersebut, Menteri Dalam Negeri itu berkata pihak terbabit tidak perlu dihukum sekiranya semua pihak mengamalkan sikap memahami dan bertolak-ansur.

Sementara itu, Charles Santiago berkata Menteri Dalam Negeri tidak boleh menghalang mana-mana pihak yang didapati menghasut kepada perbalahan kaum dan agama dari diheret ke muka pengadilan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis mesti memulakan siasatan kepada Menteri Dalam Negeri dan sudah tiba masanya Perdana Menteri memecat beliau kerana secara terang-terangan melanggar undang-undang dan bercanggah dengan 1Malaysia Perdana Menteri. Nampaknya 1Malaysia Hishamuddin berlainan sedikit," kata Charles.

“Kita khuatir selepas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Peguam Negera akan menukar pandangan. Kita membuat laporan untuk mengutuk salah gunakuasa oleh Menteri Dalam Negeri yang mengawasi pasukan polis,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Dr Dzulkiefly berkata, Hishamuddin mengambil langkah yang tidak bijak dengan mengeluarkan kenyataan berkenaan terutamanya dalam suasanan kerajaan cuba memulihkan wibawa institusi penguatkuasaan undang-undang negara ini.

“Tindakan menteri seperti ini paling tidak wajar dan tidak bijak kerana akan meneruskan pereputan institusi berkenaan. Jadi laporan perlu dibuat bagi membolehkan rakyat melihat menteri menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Mewakili Angkatan Muda Keadilan, Khairul Anuar berkata kenyataan Hishamuddin memberikan isyarat bahawa kerajaan merestui tindak-tanduk provokasi itu.

Menurutnya, dengan kenyataan berkenaan beliau yakin bahawa akan terdapat lagi insiden sedemikian khususnya oleh mereka yang mempunyai kepentingan.

“Ia akan memberi isyarat kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mempunyai tujuan kepentingan politik tertentu untuk mengambil ketetapan dan membuat tindakan sedemikian kerana menteri sendir telah mengatakan meraka yang membawa kepala lembu tidak berniat.

“Hishamuddin tidak layak duduk dalam kabinet Najib Razak dan kita minta jika benar dijadikan satu KPI terhadap Hishamuddin maka Hishamuddin berada di KPI yang rendah dan tidak layak duduk dalam kabinet 1 Malaysia Najib,” katanya.
-tvantara.com-

Tiada ulasan: