"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Diskusi meja bulat 'panas', pelaksana hukuman dipersalahkan

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 4 Sept : Kartika Sari Dewi Shukarno, 32 dihukum sebat tetapi 13 lelaki Islam yang minum arak pada hari itu, terlepas begitu sahaja. Kemudian, tiada tukang sebat, hormati Ramadan dan jantina jadi alasan tangguhkan hukuman.

Caca marba ini dilihat berpunca daripada kegagalan pemerintah untuk melaksanakan hukuman Islam dengan sempurna yang akhirnya membawa imej buruk kepada agama itu sendiri.

Demikian antara fakta-fakta penting yang dilontarkan dan disimpulkan oleh Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin ketika diskusi meja bulat dengan lima wakil pensyarah dari fakulti undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tiga wakil Sister in Islam (SIS) berhubung kes Kartika di Parlimen petang semalam.

"Sebenarnya hukuman Islam itu jelas tetapi pelaksanaannya tidak dijalankan sempurna. Beban tanggungjawab adalah terhadap kerajaan dan kegagalan pemerintah untuk melaksanakan undang-undang Islam membawa imej buruk kepada agama," katanya yang telah pun menemui Kartika Isnin lalu.

Mengupas falsafah di sebalik hukuman yang ditentukan oleh al-Quran, wakil UIAM Dr Majdah memberitahu bahawa ianya kaedah Allah SWT membawa kembali pesalah ke pangkal jalan atau jalan yang lurus (Siratul Mustaqim).

Hukuman yang dilaksanakan katanya bukan bertujuan mendera tetapi untuk mendidik dan memberi rasa insaf malah untuk mendapat rahmat dan pengampunan daripada Allah (swt) di dunia dan Akhirat.

"Hukumannya serius kerana mahu menimbulkan rasa gentar kepada pesalah dan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan minum arak itu dan dalam masa yang sama melindungi orang awam dan masyarakat daripada gejala buruk minum arak ini," katanya.

Sementara itu, wakil SIS Nazreen mencelah bahawa pihaknya tidak pernah mempertikaikan dosa minum arak dan apa yang telah termaktub dalam al-Quran tetapi mempersoalkan kaedah pelaksanaan hukuman yang dilihat berat sebelah dan menjadikan Kartika sebagai mangsa.

"Ini kesalahan pertamanya bahkan dia sendiri telah mengaku. Kartika melalui trauma dalam keadaan dia menjadi mangsa. Sepatutnya dia dibebaskan daripada hukuman.

"Apa sudah jadi dengan 13 orang yang lain yang ditangkap bersama Kartika. Dakwaan mereka telah dibatalkan dan 'settle' luar mahkamah dengan alasan-alasan yang bodoh," katanya yang merupakan seorang peguam yang tegas mempertahankan hak kesaksamaan wanita.

Dalam pada itu, Dr Zulfaqar daripada UIA menyatakan bahawa berdasarkan fakta kes Kartika telah membuat pengakuan akan kesalahannya.

"Berdasarkan pengakuan, ia menjadi kaedah yang terbaik dalam soal pensabitan kepada hukuman. Itu menunjukkan kesungguhannya. Ertinya beliau faham akan ikrar yang dibuat dan kesannya.

"Sebenarnya hukuman sebat 6 kali rotan itu adalah jauh lebih kecil berbanding hukuman Islam yang sebenarnya iaitu 40 kali sebatan. Ketika hukuman mandatori bagi kes rogol 20 sebatan, tiada siapa pun yang pertikaikan," katanya.

Menjelaskan hukuman ke atas peminum arak, Dr Nasimah berkata terdapat perbezaan pendapat jenis hukuman dan bilangan sebatan dalam undang-undang Islam.

Ada 7 kesalahan yang jelas dikenakan hukuman seperti berzina, murtad, minum arak, bunuh, pemberontakan tetapi cuma 3 daripadanya ditentukan sama ada ia dihukum secara hudud aataupun takzir, katanya.

Katanya ada amalan tertentu yang sememangnya ditentukan dan mempunyai hukuman, jika melakukan kesalahan sebaliknya tidak bagi orang meninggalkan solat atau puasa.

"Semua amalan ianya terletak antara dia dengan tuhan, tetapi ada perbuatan kerana menjaga hal-hal kemasyarakatan, maka ada hukuman yang dikenakan.

"Jenis hukuman ada yang berbeza, ada 40 kali sebat, 80 kali, atau 60 kali.Ada pukul dengan kain, selipar dan pelepah tamar.Walaupiun berbeza pendapat tetapi yang jelas hukuman terhadap peminum arak tetap ada," katanya.

Seorang wakil SIS mencelah dan kelihatan tidak berpuas hati dengan perbezaan pendapat tentang hukuman ataupun khilaf, sedangkan baginya undang-undang Islam atau syariah itu hanya satu dan tidak berbeza sehingga menyebabkan wanita didiskriminasi.

Beliau kemudiannya membangkit persoalan bapa-bapa yang tidak memberi nafkah anak setelah bercerai, yang dilihat terkeluar daripada konteks isu Kartika yang dibincangkan itu.

Nazreen juga melontarkan sekilas pandangnya bahawa undang-undang sepatutnya dilaksanakan "ikut hati" yang turut menimbulkan rasa tidak senang wakil-wakil UIAM sekaligus membidasnya.

Kedua-dua pihak kemudiannnya bertali arus dan bertubi-tubi menjawab sekaligus membela hujah masing-masing menjadikan diskusi meja bulat itu bertukar menjadi "dewan kuliah pelajaran syariah" selama 20 minit, sehingga terpaksa ditenteramkan oleh Zuraida.

"Undang-undang syariah itu sudah betul cuma kelemahan manusia yang melaksanakan," kata Dr Nasimah cuba menenangkan keadaan.

Terdahulu, Prof Rahman Awang dari UIA memberitahu bahawa undang-undang Islam telah lama wujud di Tanah Melayu sejak zaman Melaka lagi namun kedatangan penjajah Inggeris telah menukarkan sistem perundangan Islam kepada sistem undang-undang hasil ciptaan Barat yang digunapakai kini.

"Sejak merdeka, undang-undang Islam tidak pernah diberi peluang untuk berkembang di Malaysia. Oleh sebab itu, kebanyakan masyarakat tidak mengetahui sistem perundangan Islam secara jelas dan mengeluarkan pendapat yang jahil dan bercanggah dengan Islam apabila isu Kartika ini timbul.

"Umat Islam di Malaysia telah dinafikan untuk melaksanakan Undang-undang Islam kepada diri mereka sendiri. Perundangan Islam bukan setakat 'kepercayaan' tetapi ia merangkumi 'pengamalan'," katanya.

Malah kata Rahman Perlembagaan telah memberi kuasa kepada mahkamah syariah, oleh itu keputusan yang telah dibuat perlu dihormati.

Apa yang boleh dirumuskan dalam diskusi meja bulat itu ialah kegagalan pihak yang berwajib dalam melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan dengan alasan yang tidak munasabah.

Perkara ini menunjukkan bagaimana pihak kerajaan gagal untuk melaksanakan kepentingan dalam sistem perundangan Islam. Selain itu, kerajaan juga tidak pernah menunjukkan kesungguhan untuk memastikan sistem Perundangan Islam dapat berjalan dengan sempurna di negara ini walaupun telah menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 52.

Kesalahan wanita kontroversi ini bermula pada 20 Ogos lalu, Kartika yang berusia 32, telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel pada 11.40 malam 11 Julai 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Dari sudut sejarahnya, Kartika merupakan wanita pertama yang akan disebat akibat kesalahan meminum arak di negara ini sedangkan Iran, Pakistan, Arab Saudi, Sudan dan negara-negara yang mengamalkan hukum islam, ia merupakan satu fenomena biasa.

Tiada ulasan: