Zukri Aksah
Akibat dari jumlah hutang kerajaan negeri Pahang yang begitu besar, setiap rakyat Pahang, sama ada tua, muda, besar, kecil atau masih di dalam buaian sudah terpaksa menanggung hutang sebanyak RM3,370 seorang.
Inilah yang berlaku di Pahang ekoran saman terhadap kerajaan dan juga hutang yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri.
The Malaysian Insider sebelum ini telah melaporkan perihal tindakan dua buah syarikat, Spag’n Plantation Sdn Bhd dan Upayapadu (M) Sdn Bhd, yang menyaman Kerajaan Negeri Pahang, Unit Perancang Ekonomi Negeri Pahang dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana ingkar janji dengan saman masing-masing berjumlah RM209 juta dan RM24 juta.
Sebelum laporan tersebut, Kerajaan Negeri Pahang juga telah diheret ke mahkamah oleh Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd (SGM) kerana tuntutan hutang penghakiman berjumlah RM63 juta. SGM diberitakan telah mendapat perintah mandamus bagi memaksa Menteri Besar Pahang melunaskan bayaran ini.
Tuntutan hutang juga memaksa anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang, Astana Golf & Country Club disita kerana kegagalan membayar tunggakan pinjaman berjumlah RM40 juta.
Terbaru, seperti didedahkan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota dari PKR, Azan Ismail, SGM sekali lagi telah mengemukakan saman kepada Kerajaan Negeri Pahang, kali ini saman ingkar janji yang berjumlah lebih RM100 juta.
Sebuah lagi syarikat, Asia Chart Sdn Bhd pula telah membuat dua saman berasingan terhadap Kerajaan Negeri Pahang dengan nilai hampir RM200 juta. Kedua-dua saman ini, menurut Azan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan kira-kira dua minggu yang lalu.
Dalam pendedahannya, Azan menaksirkan bahawa jumlah keseluruhan saman yang diterima oleh Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Umno dan BN, termasuk tuntutan dari pelbagai pihak ketika Pahang masih di bawah teraju Tun Khalil Yaakob, adalah dalam lingkungan RM5 bilion.
Bagi Azan, ini melambangkan sikap Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Umno dan BN yang tidak bertanggungjawab serta memperjudikan masa depan negeri dan rakyatnya.
Azan tidak menjumpai alasan lain mengapa berlakunya sebegitu banyak tuntutan hutang terhadap Kerajaan Negeri Pahang, selain kerana masalah rasuah, kronisme, penyelewengan dana dan salahurus hasil negeri, sepanjang Pahang dikuasai oleh Umno dan BN.
Sementara kalangan pemimpin Umno dan BN mengumpul kekayaan dan mengagih laba dari kontrak demi kontrak yang diagih sesama sendiri, hak dan nasib rakyat Negeri Pahang diketepikan, keluh Azan.
Bila negeri mula menghadapi masalah, yang menjadi mangsa adalah rakyat, rakyatlah yang akan menanggung bebannya melalui kenaikan cukai tanah, cukai pintu dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan