KITA baharu sahaja menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-52, pada 31 Ogos 2009. Kita juga bakal menyambut hari penubuhan Malaysia pada 16 September 2009 nanti.Jadi sepatutnya Ogos dan September menjadi bulan-bulan yang begitu patriotik buat semua warganegara.
Tambah pula, untuk versi terbaru sambutan kedua-dua bulan ini, kita telah disuntik dengan semangat Satu Malaysia.
Apalagi maksud yang lebih penting untuk kata merdeka selain bebas daripada warisan pecah-perintah tinggalan British.
Selepas 52 tahun, kita memang patut menjadi satu, memahami dan menghormati unggulnya setiap budaya, tersendirinya setiap kepercayaan agama, uniknya setiap kaum dan suku.
Dalam kepelbagaian ini semua, kefahaman dan penghormatan kitalah sepatutnya menjadi satu.
Malangnya insiden beberapa hari sebelum 31 Ogos lepas nyata lari jauh dari semangat ini, malah memaparkan luka yang sebenarnya belum sembuh.
Sekumpulan demonstran telah berdemonstrasi membantah kelulusan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi membina sebuah kuil Hindu di Shah Alam.
Bukan demonstrasi itu yang menjadi masalah saya. Malah saya masih seorang yang merayakan demokrasi, saya menganut faham selagi mana demonstrasi itu aman, ia haruslah dibenarkan.
Tetapi yang menderau darah saya ialah tentang bagaimana demonstrasi itu dijalankan.
Membantah pembinaan sebuah kuil dengan alasan lokasi tidak strategik bagi saya masih tidak mengapa, tetapi membantah pembinaan kuil Hindu dengan berarak membawa kepala lembu, itu yang merisaukan malah menyedihkan saya.
Tidak bolehkah demonstrasi dibuat seperti biasa iaitu menghantar memorandum bantahan kepada Kerajaan Negeri Selangor misalnya?
Kepada sahabat-sahabat saya dari kaum India yang beragama Hindu, izinkan saya memohon maaf.
Mungkin benar, para demonstran ini adalah kumpulan orang Melayu yang beragama Islam, tetapi mereka tidak mewakili ajaran Islam. Islam tidak mengajar begitu.
Saya orang Melayu, juga seorang Islam. Saya sensitif dan marah bila didedahkan contohnya ada tapak kasut tertulis kalimah Allah.
Saya percaya, kumpulan demonstran ini juga punya sensitiviti yang serupa. Saya percaya kumpulan demonstran ini turut berkongsi sensitiviti dengan saya apabila hukum syariah seperti merotan peminum arak diperlekehkan.
Bila kita sensitif tentang penghinaan terhadap agama kita, tidak bolehkah kita terima bahawa penganut agama lain pun sensitif bila kepercayaan mereka dihina?
Sebagai penghuni negara yang majmuk agamanya, saya yakin semua rakyat Malaysia sedia maklum bahawa lembu adalah haiwan mulia di sisi agama Hindu, bahkan dalam banyak hal, lembu diangkat darjatnya setinggi Tuhan mereka.
Ketepikan dahulu wahai para demonstran akan ketidakpercayaan kamu terhadap kemuliaan lembu itu. Kalaupun tidak percaya, bolehkah bertindak dengan cara menghormati kepercayaan orang lain? Bolehkah tidak menghinanya?
Saya meneliti sejarah negara Madinah di bawah teraju Nabi Muhammad s.a.w. Dalam menghadzami sirah daulah Madinah ini, saya temui ada kelompok Yahudi tinggal di sana sebagai warganegaranya.
Saya tidak pernah temui satu riwayat yang mengatakan Nabi pernah menghina kepercayaan orang Yahudi terhadap kitab Thamudnya.
HINDRAF pun yang dikatakan ekstrim dalam gerakan mereka memperjuangkan hak dan kebajikan penganut Hindu di Malaysia, tidak pernah walau sekali saya dengar mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang boleh ditafsir sebagai menghina kepercayaan penganut agama lain.
Itupun mereka tetap dianggap sebagai mengancam keselamatan negara sehingga pemimpin-pemimpin mereka ditahan di bawah ISA oleh pihak kerajaan. Apa pula anggapan pihak kerajaan terhadap kumpulan demonstran ini?
Ingin saya tegaskan bahawa saya juga seorang nasionalis, nasionalis yang sayangkan negaranya, nasionalis yang percaya bahawa negara ini sepatutnya hanya ada satu bangsa, bangsa Malaysia.
Bagi saya, kumpulan demonstran ini adalah mereka yang masanya terhenti, mereka terperangkap dalam bayangan zaman penjajahan, terikat dengan doktrin pecah-perintah. Mereka secara hakikatnya belum merdeka.
ZUKRI AKSAH percaya kita masih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan