Aidila Razak & Lee Long Hui
Tanpa ahli parlimen Bersatu yang memegang 26 kerusi dan Mohamed Azmin Ali serta 10 lagi ahli parlimen yang setia kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, PH kini hanya mempunyai 102 kerusi.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Bersatu keluar PH, begitu juga Azmin yang mengumumkan beliau dan 10 ahli parlimen PKR lain keluar dari parti serta meninggalkan PH bagi membentuk blok bebas di parlimen.
Bagaimanapun, langkah seterus PH untuk membentuk kerajaan masih tidak jelas.
Simulasi Malaysiakini tentang senario yang mungkin berlaku menunjukkan bahawa pakatan yang mungkin ditubuhkan untuk menggantikan PH masih tidak mempunyai kerusi yang cukup untuk mendapat 112 majoriti daripada 222 kerusi parlimen.
Sebagai contoh, sekiranya Bersatu serta kumpulan Azmin berpakat dengan Umno dan PAS, mereka hanya mempunyai 94 kerusi.
Namun, sekiranya pakatan itu turut disertai parti-parti negeri dari Sabah dan Sarawak, pakatan itu akan mampu membentuk kerajaan baru dengan majoriti selesa yang memegang 126 kerusi.
Pakatan itu juga akan bertambah kukuh sekiranya tiga ahli parlimen dari MCA dan MIC turut serta, menjadikan jumlah kerusi mereka 129.
Bagaimanapun, senario itu dilihat sukar kerana ia memerlukan Gabungan Bersatu Sabah dan Gabungan Parti Sarawak bekerjasama dengan PAS, dan mengenepikan perbezaan ideologi mereka.
Tanpa PAS, pakatan itu cuma mempunyai 111 kerusi, satu kerusi kurang untuk membentuk majoriti.
Untuk menambah sokongan, pakatan itu juga boleh menarik ahli parlimen PKR lain, atau ahli parlimen Amanah, namun senario itu tidak dapat disimulasikan buat masa ini kerana belum ada petunjuk ia akan berlaku.
Simulasi ini juga dibuat dengan tanggapan tiada ahli DAP akan meninggalkan PH.
Apa terjadi jika tiada pihak peroleh majoriti?
Simulasi ini menunjukkan kemungkinan "parlimen tergantung" kerana tiada parti atau gabungan parti yang mempunyai majoriti jelas di parlimen.
Sekiranya parti-parti yang terlibat tidak berunding dan mencapai persetujuan untuk membentuk pakatan, perdana menteri perlu menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen, bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.
Namun, Seri Paduka mungkin menggunakan budi bicaranya untuk menolak cadangan perdana menteri dan mengarahkan parti politik terus berunding dan mencapai persetujuan.
Dalam keadaan itu sekali pun, menurut Artikel 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Agong mempunyai hak membubarkan parlimen. Pilihan raya umum perlu menyusul.
Sehingga hari ini, belum ada Yang di-Pertuan Agong yang pernah membubarkan parlimen berdasarkan budi bicaranya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan