DR MUHAIMIN SULAM
Umum mengetahui bahawa AMANAH dan DAP yang menyuarakan keperluan Tun Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri (PM) dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH). Idea ini mendapat tentangan daripada Bersatu dan Azmin. Anwar yang berada dalam mesyuarat tersebut tentulah perlu bersikap neutral.
AMANAH sendiri tentu berasa selesa berada di bawah kepimpinan Tun yang sangat menghargai nilai yang ada pada AMANAH. Bahkan, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang mesra dipanggil Bang Mat sebelum ini berulang kali menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Tun untuk menjadi PM. Pendirian Bang Mat sangat jelas.
Ingat lagi semasa Bang Mat mencampak mikrofon sejurus habis berceramah? Sebenarnya Bang Mat marah kerana perjuangan PH ketika itu cuba dikhianati oleh segelintir pemimpin PH khususnya daripada PKR. Bang Mat jenis orang yang berterus-terang.
Menjelang PRU-14 lalu, AMANAH sekali lagi menyelamatkan kemelut politik dalaman PH dalam pembahagian kerusi. Saya masa itu, kecewa. Haji Asmuni dan Haji Aminolhuda yang memimpin AMANAH Perak dan Johor protes.
Saya pun protes. Kami buat keputusan tidak hadir konvensyen parti. Kami kehilangan banyak kerusi untuk dikorbankan demi PH.
Walaupun Tun puji melambung pengorbanan AMANAH, masa itu kami sakit hati. Takkan AMANAH hanya dapat pujian sahaja? Masa itu, kami kecewa. Kami lagi kecewa, bila pilihanraya umum, Bersatu tercari-cari calon untuk bertanding. Entah siapa-siapa yang dicalonkan ketika itu. Sabar sahaja.
Apabila PH menang PRU dan membentuk Kabinet, Tun bagi ‘cash’ terus pada AMANAH. Seramai sembilan daripada sebelas Ahli Parlimen AMANAH jadi Memteri dan Timbalan Menteri. Selama tempoh perkhidmatan mereka, nyata keupayaan mereka terbukti hebat. Adapun beberapa kelemahan yang ada, itu normal.
Jika AMANAH bersikap ‘play safe’, mendiamkan diri tentang tempoh peralihan itu, nescaya kerajaan PH kekal. Bang Mat terus kekal menjadi Menteri. AMANAH bersetia pada perjanjian. Bukan bersetia pada jawatan. Akibat pendirian itu, berkocak dalaman PH.
Di akhir mesyuarat Majlis Presiden PH bersetuju untuk Tun sendiri menetapkan tarikh peralihan. Rupa-rupanya ia tidak berhenti setakat itu. Azmin dan Muhyidin merasakan bahawa itu adalah ancaman politik.
Kiranya Anwar jadi PM, ada jaminan untuk AMANAH memperolehi kedudukan yang ada semasa Tun jadi PM? Tiada jaminan. Ini kerana sandaran perjuangan pimpinan AMANAH bukan jawatan. Sayangnya, sikap AMANAH yang begini telah dimanipulasi pihak lain.
AMANAH perlu ubah pendekatan. Perlu lebih ‘real politician’. Jangan salahkan Umno dan Pas yang menangguk di air keruh. Ini ibarat pepatah baru, ‘Sudahlah tak dapat masuk pintu belakang, rumah terbakar.’
Jika tidak diubah pendekatan, AMANAH hanya dapat mencipta sejarah sebagai parti politik yang berintegriti, tak terkejarkan jawatan, sedia berkorban dan buat puisi. AMANAH telah buat keputusan untuk Tun teruskan kepimpinannya.
* Penulis adalah Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Naib Pengerusi AMANAH Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan