Malaysiakini
Yang di-Pertuan Agong mendapati tidak ada seorang pun pemimpin yang mempunyai majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan, kata Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad.
"Dan kerana tidak ada majoriti jelas, (Seri Paduka) kata forum yang sesuai adalah Dewan Rakyat
"Jadi parlimen akan bersidang pada 2 Mac (Isnin depan)... siapa yang ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat akan menjadi perdana menteri seterusnya.
"Bagaimanapun, jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.
Mahathir pagi tadi mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Pada Selasa dan Rabu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menemu bual semua ahli parlimen secara individu susulan kemelut politik negara.
Seri Paduka mahu mendengar sendiri pandangan setiap mereka dalam mencari penyelesaian terhadap kemelut tersebut.
Persidangan dengan Raja-raja Melayu dijadualkan esok.
Parlimen pada asalnya dijadualkan bersidang semula pada 9 Mac, tetapi tarikh berkenaan telah dianjakkan lebih awal untuk menyelesaikan kebuntuan politik saat ini.
Mahathir mahu membentuk kerajaan perpaduan yang meletakkan "kepentingan negara di atas garis parti".
Ditanya mengenai bagaimana ini akan berfungsi, Mahathir berkata sesiapa yang dipilih sebagai perdana menteri boleh melantik kabinet berdasarkan siapa yang mereka mahukan.
"Dia boleh memilih sebarang anggota tanpa ikatan dengan mana-mana parti... (mereka akan berada dalam kabinet) sebagai individu dan tidak dilihat sebagai wakil parti masing-masing," katanya.
Beliau menambah bahawa ahli parlimen Bebas juga boleh dipertimbangkan jika mereka layak.
Mahathir berkata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin juga telah berbincang dengannya mengenai kemungkinan dirinya menjadi calon perdana menteri.
PH pula sebelum ini menamakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai calon mereka.
Sebelum ini, Umno dan PAS menarik semula sokongan mereka terhadap Mahathir kerana membantah model kerajaan individu itu. Mereka sebaliknya mahu pilihan raya umum diadakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan