"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin 'tok dalang' sebenar?

Malaysiakini
ANALISIS l Sejak tercetus krisis politik negara, perhatian tertumpu kepada dua watak - Azmin Ali dan Dr Mahathir Mohamad - yang dilihat sebagai dalang yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.

Azmin didakwa berperanan penting dalam "Langkah Sheraton" - rancangan untuk menukar PH dengan sebuah kerajaan yang dianggotai bersama Umno dan PAS - dan diterajui oleh Mahathir.

Pada masa yang sama, Mahathir dituduh tidak lagi komited kepada PH dan memungkiri janjinya untuk menyerahkan kuasa pemerintahan negara kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Walau bagaimanapun, peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang 24 jam lalu menunjukkan bahawa ‘tok dalang’ wayang kulit yang sebenarnya adalah orang lain - Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Pertama, pertimbangkan bahawa Azmin dan pengikutnya tidak lagi menyokong Mahathir sebagai perdana menteri dan menyatakan sokongan terbuka kepada Muhyiddin.

Kedua, Mahathir mendedahkan semalam bahawa rancangan sedang diatur untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri sebuah kerajaan yang turut dianggotai oleh semua ahli parlimen Umno.

Sebelum ini, ahli parlimen Bersatu telah memberi sokongan padu kepada Mahathir, yang mahu menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang tidak terikat dengan sebarang parti dengan dirinya sebagai perdana menteri.

Terdapat juga laporan berita yang memetik Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa bahawa semua ahli parlimen Umno dan PAS telah diarahkan untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri ketika mereka mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun kedua-dua setiausaha agung Umno dan PAS menafikannya, beberapa ahli parlimen Umno memberitahu Malaysiakini bahawa ini adalah benar.

Muhyiddin sering mencuri tumpuan media sejak krisis politik itu meletus. Bagaimanapun, gerakan taktiknya semakin jelas.

Sementara beberapa menteri besar Bersatu seperti Faizal Azumu (Perak) dan Mukhriz Mahathir (Kedah) memilih untuk meneruskan mandat PH di negeri masing-masing, keadaannya berbeza di negeri asal Muhyiddin di Johor.

Semalam, kerajaan PH di Johor tumbang, sebahagiannya kerana tindakan Muhyiddin dan penyokongnya yang memutuskan untuk membentuk kerajaan baru dengan Umno dan PAS.

Muhyiddin adalah Adun Gambir. Justeru, sudah pasti Muhyiddin mengundi memilih kerajaan baru apabila beliau mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Petang tadi, Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru, menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu.

Sebelum ini, Umno dan PAS, bermati-matian mahu pilihan raya umum diadakan tetapi hari ini memutuskan, untuk menyokong Muhyiddin.

Muhyiddin, 72, mempunyai sejarah dalam percubaan menggulingkan beberapa perdana menteri.

Pada 2008, beliau yang ketika itu adalah naib presiden Umno, bergabung dengan anggota parti mendesak peletakan jawatan Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri.

Pada 2016, Muhyiddin dipecat daripada Umno kerana didakwa terlibat dalam plot untuk menjatuhkan Najib Razak. Setahun sebelum ini, beliau digugurkan dari kabinet. Beliau ketika itu timbalan perdana menteri.

Menurut sumber, Mahathir meninggalkan mesyuarat pagi tadi bersama anggota parlimen Bersatu setelah menjadi jelas bahawa mereka berkeras mahu membentuk perikatan dengan Umno, yang tidak direstuinya.

Adakah bintang Muhyiddin akan menyinar kali ini dan mampukah beliau menjadi perdana menteri Malaysia kelapan dan menempatkan namanya dalam buku sejarah sebagai orang yang menamatkan legasi Mahathir dan Anwar?

Walau bagaimanapun, tidak bijak untuk mengandaikan perjalanan politik Mahathir sudah berakhir. Mereka yang meremehkannya pada masa lalu masing-masing menyaksikan diri mereka akhirnya tersungkur.

Tiada ulasan: