Malaysiakini
Ketika kemelut perebutan kuasa antara pemimpin dan parti-parti politik belum jelas pengakhirannya, Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, menitipkan doa agar mereka yang mempunyai kepentingan diri dan peribadi dalam isu itu "dihancurkan" Allah SWT.
Dalam satu catatan di Facebook hari ini, menantu kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang itu pada mulanya berkata, pada ketika ini ada parti yang tidak menamakan perdana menteri daripada kumpulan mereka.
Pihak itu juga, katanya, tidak kelihatan berebut-rebut untuk menduduki jawatan perdana menteri. Tanpa menamakan parti tersebut, Zaharudin dipercayai merujuk kepada PAS.
Menjelaskan pandangannya, Zaharudi memetik ayat ke-21 surat Yasin yang bermaksud: "Ikutlah mereka yang tidak meminta daripada kamu sebarang balasan dan mereka adalah golongan yang diberikan petunjuk oleh Allah SWT."
"Saya doakan (dengan) sepenuh hati semoga mereka yang berebut kuasa untuk kepentingan diri dan peribadi dihancurkan oleh Allah SWT dalam masa terdekat.
"Mereka yang gila menjadi perdana menteri tanpa mempedulikan nasib rakyat, mereka yang menggerakkan jentera parti mereka, menggerakkan cybertrooper peribadi mereka, menghuru-harakan negara, tanpa mempedulikan saham negara yang jatuh teruk.
"Semoga Allah hancurkan, dedahkan dan hinakan individu-individu ini," katanya.
Doa dalam musafir
Untuk rekod di sebalik kedudukan semasanya hanya sebagai pemimpin peringkat kawasan, Zaharudin sebelum ini menganggotai Jawatankuasa Pusat PAS.
Beliau menarik perhatian ramai apabila mendedahkan ada antara pemimpin kanan PAS sebagai "kartel dedak" kerana menerima dana tertentu daripada Umno atau orang yang ada kaitan dengan Umno.
Langkah itu mendorong PAS merujuk kes tersebut kepada lembaga disiplin parti.
Kata Zaharudin, doa yang dipanjatkannya hari ini tidak ditujukan terhadap kepada mana-mana individu secara khusus sebaliknya secara umum termasuk jika ada yang sebegitu dalam PAS.
"Doa ini saya panjatkan untuk semua perosak negara dan rakyat, termasuk jika ada individu daripada parti yang saya dukungi sendiri kerana kebenaran itu adalah tanpa sempadan.
"Semoga doa dalam pemusafiran dimakbulkan oleh Allah SWT," katanya tanpa menjelaskan dari mana atau ke mana destinasi perjalanan beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan