"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahathir tidak lagi terikat dengan perjanjian PH

ARIF JUHANI ABD RAHMAN
Dalam sekelip mata ketenangan pada 23 Februari lalu direnggut. Kumpulan media berkumpul dan melaporkan lima mesyuarat parti politik.

Lima parti tersebut adalah Bersatu, Umno, Pas, segelintir pimpinan PKR dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bermesyuarat di Kuala Lumpur.

Seluruh negara dikejutkan dengan cubaan untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan dan digantikan dengan kerajaan baharu yang secara umumnya dikenali sebagai Pakatan Nasional.

Episod ini berubah dengan pantas. Banyak plot terbentuk dan rakyat mengikutinya sehingga larut malam.

Babak politik mengejutkan itu diakhiri dengan majlis makan malam di Hotel Sheraton iaitu lokasi sama yang pernah menghimpunkan semua pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mengumumkan kemenangan dan kejayaan membentuk sebuah kerajaan baharu.

Pada malam sama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga seperti rutin mingguan menganjurkan majlis Zikir Nurul Anwar di kediamannya di Bukit Segambut.

Di sebalik ketenangan majlis itu, Anwar mengambil kesempatan dengan mengakui berlaku pengkhianatan berlaku dalam PKR dan Bersatu untuk menjatuhkan Pakatan Harapan.

Ini semua berlaku selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan selesai bermesyuarat pada 21 Februari lalu dengan bersetuju untuk menyerahkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad keputusan tentang tarikh penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim pula yang bersetuju dengan kenyataan itu sekadar mengakui bahawa beliau harus terus bersabar untuk menaiki takhta dan kerusi Perdana Menteri itu.

Tetapi langit tidak selalunya cerah. Seperti jangkaan ramai, Tun Mahathir tidak begitu mudah untuk menyerahkan jawatan tersebut. Tetapi adakah komplot jijik pada hari minggu itu merupakan bikinan karya politik teragung beliau?

Masih ada yang sukar menerima hakikat itu kerana berdasarkan kepada pertemuan pimpinan PH pada pagi 24 Februari lalu dengan Tun Dr Mahathir di kediamannya di Seri Kembangan, respon akhir yang ditunjukkan oleh semua pimpinan adalah menafikan penglibatan Tun Mahathir dalam komplot tersebut.

Malah mereka sepakat bersetuju supaya Tun Mahathir terus memegang jawatan Perdana Menteri tatkala beliau mengeluarkan kenyataan rasmi untuk meletak jawatan.

Kemudian, Timbalan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengeluarkan kenyataan mengumumkan parti itu keluar dari PH.

Babak tersebut dikejutkan kembali dengan tindakan Tun Dr Mahathir yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

Hasil pertemuan Tun Mahathir dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di Istana Negara pada petang 24 Februari akhirnya meletakkan beliau memegang kapasiti baharu sebagai Perdana Menteri interim. Secara mudahnya Perdana Menteri dalam tempoh peralihan.

Tetapi peralihan untuk apa? Untuk tempoh peralihan jawatan atau sebelum Parlimen dibubarkan?

Inilah babak politik paling agung dalam sejarah Malaysia malah di dunia. Seorang Perdana Menteri meletak jawatan untuk menjadi Perdana Menteri.

Lebih ajaib adalah inilah kali pertama Perdana Menteri yang dilantik bukan dari parti politik pemerintah kerana Bersatu sudah keluar dari PH.

Apa yang berlaku sekarang adalah Tun Mahathir tidak lagi terikat dengan perjanjian dengan PH untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar Ibrahim.

Sekarang Mahathir sudah terbuka untuk membentuk sendiri anggota Kabinetnya sendiri. Barangkali inilah peluangnya untuk membentuk sebuah kerajaan yang mempunyai identiti Muslim-Melayu seperti impian parti pembangkang.

Maknanya Pas dan Umno juga berpotensi untuk menjadi anggota Kabinet atau secara mudahnya menjadi menteri dan timbalan menteri.

Tetapi satu persoalan yang sering mencetus dilema, benarkah Mahathir merencanakan agenda sulit seperti ini kerana ramai yang mendakwa bahawa beliau sendiri tidak bersetuju untuk berpisah dengan PH.

Dimaklumkan bahawa beliau menitiskan air mata ketika menceritakan kepada para pimpinan PH tentang kisah sebenar yang berlaku pada 23 Februari lalu. Pada waktu ini, imej Mahathir kelihatan begitu ‘innocent’ dan bersih berbanding Tan Sri Muhyiddin yang pada awalnya dianggap pemimpin demokratik dan terbuka tetapi rosak disebabkan komplot 23 Februari lalu.

Satu ingatan yang perlu dipasak dalam minda kita adalah dalam politik tiada kebetulan. Sekiranya ada kebetulan, maka kebetulan itulah yang direncanakan. Mungkin Mahathir tidak terlibat dalam komplot itu tetapi beliau begitu mahir untuk menjadikan situasi di bawah kawalannya.

Boleh sahaja kita membina hipotesis bahawa Mahathir perlukan mandat yang lebih kuat untuk membentuk kerajaan kerana kecewa dengan prestasi PH. Apatah lagi sentimen orang Melayu-Islam tidak menyebelahi PH.

Pada waktu inilah pentingnya untuk kita meneliti karya agung Niccolo Machiavelli iaitu The Prince atau Sang Putera. Memang kita maklum ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ yang sinonim dengan Machiavelli. Tetapi kita tidak tahu cara untuk mencapai matlamat tersebut?

Hanya Mahathir sahaja yang nampaknya begitu handal dan licik membentuk cara atau kaedah yang beliau inginkan. Cuba teliti ketika ini, siapakah yang tidak menyokong kepimpinan Mahathir sebagai Perdana Menteri?

Hatta Pas yang merupakan musuh tradisi Tun Mahathir pun tunduk di bawah telapak kakinya.

Machiavelli menyebut bahawa ada pemerintah yang memperoleh mandat kekuasaan dengan tuah dan kecekapannya sendiri. Jika disebabkan tuah, maka dia harus berhati-hati kerana pentadbirannya lebih rapuh dan mudah digugat.

Tetapi bagi pemerintah yang cekap, apa sahaja keadaan boleh dikuasainya dengan segera dan berkesan.

Maka Tun Mahathir adalah pemerintah yang cekap dan mampu mengubah situasi telur di hujung tanduk kepada selautan peluang politik yang boleh mengangkat wibawa dirinya.

* Penulis adalah Pegawai Komunikasi AMANAH.

Tiada ulasan: