"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH kumpul bukti termasuk SD, yakin mampu tunjuk jumlah sokongan majoriti

AKMAL MANAF
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub yakin dan percaya Pakatan Harapan (PH) mampu menunjukkan jumlah sokongan majoriti dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, pihaknya (PH) akan mengadakan mesyuarat sebentar lagi dan akan mengumpulkan bukti-bukti termasuk akuan bersumpah (SD).

“PH akan bermesyuarat sebentar lagi dan kalau diizinkan, kita akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menunjukkan bukti yang lebih kukuh.

“Tentang bila hendak menghadap Agong itu, kita akan bermesyuarat dahulu. Sampai sekarang pun kita masih mengumpulkan bukti-bukti termasuk SD,” katanya ketika ditemui media, sebentar tadi.

Ditanya tentang jumlah terakhir yang diterima dalam akuan bersumpah, Salahuddin memaklumkan pihaknya menerima kira-kira 111-112.

“Saya rasa kita dapat 111 atau 112, setakat jam 4 petang tadi,” katanya ringkas.

Terdahulu, Bernama melaporkan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakatan itu kini berjaya mengumpul kepercayaan yang jauh lebih tinggi daripada jumlah Ahli Parlimennya yang sedia ada.

Sambil melemparkan senyuman lebar, Anwar yang juga presiden PKR yakin bahawa jumlah sokongan yang diperoleh PH kini adalah mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Beliau berkata jumlah itu termasuk dengan bilangan Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jauh. ..jauh lebih tinggi. Tun Dr Mahathir tentulah bawa beberapa lagi,” katanya kepada pemberita sebelum beredar meninggalkan lokasi mesyuarat yang dipercayai diadakan bersama-sama Ahli Parlimen PH di sebuah hotel di sini, hari ini.

Petang ini Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat perkenan Yang DIpertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah sebagai Perdana Menteri ke-8, Malaysia.

Yang Dipertuan Agong berkenan melantik Presiden Bersatu itu sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Tiada ulasan: