"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Krisis Perak 2009 mungkin berulang di Johor?

Zikri Kamarulzaman
Dewan Undangan Negeri Johor berkemungkinan menyaksikan situasi sama yang berlaku di Perak lebih daripada sedekad yang lalu.

Kerajaan PH di negeri itu tumbang selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menemu bual 54 daripada 56 anggota DUN dan berpuas hati bahawa 28 daripadanya menyokong gabungan baru Bersatu, BN dan PAS.

Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad kemudiannya mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru malam ini menggantikan menteri besar dari Bersatu, Dr Sahruddin Jamal.

Pada sidang media selepas mengangkat sumpah, Hasni berkata kerajaan negeri baru dibentuk oleh Sultan mengikut perlembagaan negeri.

"Ini bukan kerajaan pintu belakang," katanya, dengan menekankan bahawa situasi berkenaan berlaku kerana perpecahan PH.

Rakaman sidang media itu diperoleh Malaysiakini.

Pada sidang media itu, Ketua Bersatu Johor Mazlan Bujang yang tiba pagi ini, berkata beliau belum membuat keputusan sama ada akan memberi sokongan kepada Hasni.

Mazlan adalah salah seorang daripada dua Adun yang tidak hadir mengadap Sultan pada Rabu. Seorang lagi Adun yang tidak hadir ialah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang berada di Kuala Lumpur untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa Adun Pemanis dari PKR Dr Chong Fat Full turut menyokong gabungan baru itu semasa perjumpaan dengan Sultan Johor.

Bagaimanapun, semalam Chong mengisytiharkan bersama PH dan hadir ketika 28 Adun PH berkumpul malam tadi untuk mencabar majoriti gabungan baru.

Namun Hasni berkata pada sidang akhbarnya petang ini bahawa gabungan baru itu akan mempunyai majoriti di dewan undangan negeri.

Hasni berkata beliau akan menyampaikan kepada Sultan Ibrahim barisan exco dalam masa seminggu dan ini ia akan mencerminkan komposisi kaum di Johor.

Walaupun BN Johor mempunyai dua wakil India dari MIC, gabungan baru itu tidak mempunyai Adun Cina.

Perlembagaan Johor menyatakan bahawa ahli exco mestilah terdiri daripada Adun.

Ketika dihubungi, Salahuddin, yang merupakan Adun Simpang Jeram, berkata PH boleh mematuhi peraturan dan prosedur di dewan negeri untuk menentukan kumpulan yang mempunyai majoriti.

Penyandang speaker dewan, Suhaizan Kaiat dari Amanah turut menyatakan perkara sama, dengan menambah bahawa menteri besar boleh dicabar dalam sidang DUN.

"Kita akan lihat jika ada keperluan untuk mengadakan sidang khas," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan krisis Perak tahun 2009 berulang, yang menyaksikan kebuntuan dalam dewan undangan negeri sehingga menyebabkan Speaker Pakatan Rakyat ketika itu diheret keluar dewan, beliau menjawab: "Apa pun boleh berlaku."

Suhaizan, yang bukan seorang wakil rakyat, juga berkata sebagai Speaker, dia boleh membuat undian memutuskan sekiranya jumlah sokongan ahli parlimen buntu dengan masing-masing mendapat 28 kerusi.

Sidang DUN dijadual pada 5 Mac, tetapi mengatakan bahawa sekiranya berlaku perubahan kerajaan, ia akan ditangguhkan.

Tiada ulasan: