FMT
Presiden PKR, Anwar Ibrahim malam tadi mengesahkan ada cubaan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, melibatkan ahli politik PPBM dan PKR “yang khianat”, ketika beberapa pemimpin partinya sedang makan malam bersama pemimpin Umno, PAS dan PPBM.
“Mereka sudah bertemu dengan Agong petang tadi namun belum ada pengumuman lanjut,” katanya kepada sekumpulan 300 penyokong yang menghadiri suatu majlis keagamaan di kediamannya di Kampung Segambut Dalam.
Beliau bagaimanapun tiada maklumat penuh mengenai penubuhan “kerajaan baru”, di sebalik cakap-cakap mengenai penyusunan baru politik yang bakal menyaksikan kawan dan lawan membentuk gabungan pemerintah baru tersebar luas.
“Saya jangka kemungkinan itu akan berlaku dalam masa terdekat – mungkin esok – walaupun tiada pengumuman malam ini tapi dari maklumat yang saya terima memang ada usaha demikian,” katanya.
Beliau akui terkejut dengan situasi semasa, sehari selepas PH mengumumkan kepercayaan penuh kepada Pengerusi Dr Mahathir Mohamad.
“Kita dikejutkan hari ini dengan perkembangan yang bagi kita juga suatu pengkhianatan kerana sudah janji dan sebagainya,” katanya.
Pada sesi tazkirah malam ini, Anwar kelihatan sentiasa memeriksa telefon bimbitnya. Media yang berkumpulan bagaimanapun tidak dapat menyertai sesi itu, apabila diminta keluar selepas solat Maghrib.
Sementara itu, setiausaha politik kepada Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ketika ditemui pemberita mendakwa Anwar dijadualkan menghadap Agong esok, mengikut perancangan yang diatur lebih awal selepas mendapat persetujuan Sultan Abdullah Shah.
“Cuma untuk sampaikan perkembangan semasa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan