"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahathir, Muhyiddin kini 'berperang' dalam Bersatu

Malaysiakini
Isu pelantikan perdana menteri baru menunjukkan putaran baru apabila calon yang dicadangkan Bersatu, Muhyiddin Yassin, menyanggah Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan ringkas dikeluarkan selepas beliau dan rombongannya keluar dari Istana Negara sebentar tadi, Muhyddin berkata, Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu pada 24 Feb lalu.

Justeru, kata bekas timbalan presiden Umno yang kemudian menubuhkan Bersatu itu, jawatan tersebut kini dipangku beliau.

"Menurut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baru," katanya.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan ketetapan dibuat Bersatu sebelum ini yang mengumumkan Mahathir bersetuju untuk dilantik semula sebagai pengerusi parti terbabit.

Ia dibuat beberapa jam selepas Mahathir mengumumkan beliau mendapat sokongan ahli parlimen mencukup untuk dicalonkan sebagai perdana menteri kepada Agong pagi tadi.

Bagaimanapun menyusul selepas kenyataan tersebut, Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, mengesahkan bahawa Mahathir adalah pengerusi sebenar parti berkenaan.

Kata senator tersebut, menurut perlembagaan Bersatu, seorang pengerusi bertanggungjawab untuk menjadi pemimpin utama bagi menjamin kelancaran perjalanan keseluruhan pentadbiran serta dasar parti, selain memanggil dan mempengerusikan mesyuarat.

"Maka selari dengan prinsip rule of law dan perlembagaan parti, satu-satunya individu yang mempunyai kuasa mutlak memimpin parti ialah Pengerusi Bersatu, iaitu Dr Mahathir Mohamad.

"Oleh yang demikian segala tindak-tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Tun (Mahathir) sebagai pengerusi Bersatu," katanya.

Sementara itu seorang sumber memberitahu, sebenarnya Mahathir memang masih berstatus pengerusi parti tersebut kerana peletakan jawatannya sebelum ini tidak diterima Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Tiada ulasan: