"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hutan dijarah ketika Covid-19 melanda

Sheridan Mahavera

Penerokaan hutan haram di Bukit Larut berlaku ketika perintah kawalan pergerakan dijalankan. – Gambar ehsan Sahabat Alam Malaysia, 4 April, 2020.

KETIKA pihak berkuasa giat berusaha memerangi Covid-19, kumpulan alam sekitar dan Orang Asli bimbang khazanah berharga negara kini sedang dijarah pembalak haram.

Mereka sudah mengesan satu kes penerokaan dan pembersihan tanah haram di hutan simpan di Perak yang dipercayai berlaku pada peringkat pertama perintah kawalan pergerakan antara 18 sehingga 31 Mac lalu.

Mereka juga bimbang kerana kerana Orang Asli tempatan dan aktivis kini dihalang daripada menjalankan kerja-kerja meronda di kawasan hutan yang selama ini memang menjadi sasaran pembalakan haram menyebabkan aktiviti itu giat berlaku.

Hutan simpan di Sarawak terutamanya paling terancam kerana kerajaan negeri membenarkan pembalak meneruskan aktiviti mereka tetapi aktivis dan Orang Asli perlu mematuhi PKP.

“Kerajaan Sarawak membenarkan syarikat minyak sawit dan pembalakan terus beroperasi walaupun ketika PKP dan ini termasuklah di Ulu Baram di mana Orang Asli Penan sudah membina sekatan,” kata aktivis alam sekitar Sarawak Peter Kallang.

“Orang Penang membina sekatan untuk menghalang pembalak masuk tetapi kerana PKP, orang Penan tak boleh meronda. Jadi, kami bimbang pembalak sedang berseronok di kawasan itu sekarang,” kata Kallang daripada Save Rivers Network.

Di Perak, Sahabat Alam Malaysia menerima aduan dan bukti bahawa sebidang tanah di hutan simpan Bukit Larut sudah dibersihkan untuk penanaman skala kecil.

Hutan simpan itu adalah sebahagian daripada Central Forest Spine (CFS), kawasan ekologi sensitif dan hutan dilindungi di tengah Semenanjung Malaysia merentasi lapan negeri.

Yayasan Hasanah, organisasi di bawah Khazanah Nasional, menyifatkan CFS sebagai “menara air Semenanjung” kerana ia membekalkan 80% bekalan air mentah kepada penduduk negara ini.

Aktivis SAM Meor Razak Meor Abdul Rahman memberitahu The Malaysian Insight yang pembalak memasuki kawasan itu menerusi jalan balak lama yang terletak jauh daripada kawasan penduduk.

“Maklumat yang kami terima adalah mereka sudah tebang dan bakar hampir 1.2 hektar hutan untuk penanaman. Mereka juga buat pagar elektrik di sekeliling kawasan itu.

“Mereka buat semua ini ketika perhatian semua orang tertumpu kepada wabak koronavirus,” katanya. – 4 April, 2020.

Tiada ulasan: